Hari Terbuka KDN : Pasukan Cantas Pamer Kehebatan

Oleh Hassan Omar

 

Hadirin program Hari Terbuka Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks KDN Melaka di Ayer Keroh hari ini dikejutkan dengan letupan senjata api dilepaskan anggota Pasukan Cantas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ke arah sekumpulan penjenayah.

Walaupun seorang anggota pasukan itu cedera ditembak penjenayah ketika mencuba melindungi seorang kenamaan (VIP), dia segera diselamatkan oleh rakan sepasukannya selepas seorang daripada penjenayah ditumpaskan.

Bagaimanapun, dua lagi penjenayah yang marah apabila rakan mereka tumpas, melepaskan tembakan membabi buta dan menyebabkan sepasukan anggota Pasukan Cantas menyerang dan menumpaskan mereka.

Itulah drama secara langsung dilakonkan anggota polis dalam aksi menyelamatkan VIP dan menumpaskan geng penjenayah yang dipamerkan dalam demonstrasi Pasukan Cantas pada perasmian program berkenaan.

Program itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan Pasukan Cantas dianggotai polis wanita yang menjalani latihan lasak ala komando polis dan cekap mengunakan senjata api serta mampu menangani jenayah penculikan atau serangan terhadap VIP, khususnya wanita.

Demonstrasi berkenaan dijalankan dalam tempoh kira-kira 10 minit dengan disaksikan oleh Ahmad Zahid; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sementara itu, program selama dua hari yang bermula 25 Mac itu menyaksikan kira-kira 10,000 orang membanjiri kawasan sekitar kompleks berkenaan untuk menyaksikan pameran disediakan 10 jabatan di bawah KDN.

Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan seumpamanya.

Ia adalah yang pertama seumpamanya yang diadakan bagi menarik lebih ramai anggota masyarakat membantu usaha memelihara keamanan di negara ini.

Leave a Reply