HARI TERBUKA KDN : TPM Ikrar Bertindak Tegas Memelihara Keamanan Tetapi Berlandaskan Keadilan

Oleh Hassan Omar

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan selagi beliau diberi tanggungjawab memimpin Kementerian Dalam Negeri (KDN), beliau akan memastikan kerajaan bertindak tegas memelihara keamanan tetapi berlandaskan keadilan.

KDN tidak akan membiarkan mana-mana pihak menggugat keamanan dan ketenteraman awam kerana ketenteraman adalah antara tiga aspek yang dipandang serius oleh rakyat, selain aspek kos sara hidup dan perumahan.

Ahmad Zahid menegaskan, setiap rakyat amat memerlukan aspek keselamatan mereka dijamin dan bagi merealisasikan hasrat itu, KDN melalui 10 jabatan di bawahnya, terutama yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang memelihara keamanan akan memastikan tiada sesiapa pun bertindak sewenang-wenangnya menggugat keamanan.

“Selagi saya diberi tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri, kami akan bertindak tegas tetapi adil .

“Jika ada mana-mana pihak yang cuba memperlekeh Polis Diraja Malaysia (PDRM), jangan silap perkiraan.

“Setiap patah perkataan dan tulisan dalam mana-mana media kovensional atau media maya yang membantu pengganas, memang kami tahu,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks KDN Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Program itu disertai 10 jabatan di bawah KDN yang menyediakan ruang pameran untuk orang ramai memahami fungsi dan tugas setiap jabatan berkenaan.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Timbalan Perdana Menteri berkata, KDN memilih Melaka sebagai negeri pertama menjadi tuan rumah program seumpama itu kerana sesuai dengan sejarah peradaban Tanah Melayu yang menyaksikan sejarah ketamadunan manusia bermula di Melaka.

Sehubungan itu, beliau berharap Melaka di bawah kepemimpinan Idris akan terus maju dan mampu mengulangi sejarah kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Ahmad Zahid juga menegaskan, KDN sudah menetapkan 38 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang harus dicapai tahun ini.

“Kenapa kami menyusahkan diri kami dengan 38 KPI itu? Jawapannya ialah selagi rakyat memberi kepercayaan kepada kerajaan melalui KDN, kami akan terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun indeks jenayah 2016 turun 2.8 peratus, persepsi rakyat terhadap aspek keselamatan awam masih belum meningkat.

Sehubungan itu KDN akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan persepsi rakyat terhadap aspek keselamatan melalui kaedah meningkatkan aset keselamatan.

Comments

comments