ANALISIS : Sentiasa Ingat Senarai Tempat Larangan Merokok Di Singapura

Oleh Massita Ahmad

 

Perlu diingat bahawa terdapat lebih daripada 40 pelbagai tempat larangan merokok di Singapura.

Antara tempat yang tersenarai dalam laman sesawang Agensi Sekitaran Kebangsaan(NEA) Singapura adalah di tempat-tempat awam, tandas awam, pusat penjaja, pusat hiburan seperti pub, bar, disko dan ruang istirehat (lounge), serta mana-mana kawasan dalam lingkungan lima radius meter dari perhentian bas berbumbung.

Akta Merokok (Larangan di Tempat Tertentu) yang ditadbir oleh NEA adalah sebahagian daripada usaha Singapura untuk menggalakkan gaya hidup bebas daripada asap rokok di republik ini.

Larangan merokok di Singapura mula diperkenalkan pada 1970 dan NEA telah secara beransur-ansur memperluaskan senarai tempat-tempat bebas asap rokok di bawah Akta berkenaan melalui rundingan dengan pihak relevan dan berkepentingan awam.

NEA menyatakan bahawa dasar matlamat jangka panjang kerajaan adalah bagi melarang perlakuan merokok di semua kawasan awam untuk melindungi golongan bukan perokok daripada kesan bahaya asap rokok.

NEA berhasrat mencapai matlamat itu secara beransur-ansur dengan memperluaskan Akta Merokok (Larangan di Tempat Tertentu) ke lebih banyak tempat awam yang mana akan memberi kesan kepada kehidupan harian orang ramai.

Melihat kepada senarai tempat dilarang merokok yang begitu panjang, tidak mungkin NEA dapat menempatkan pegawai-pegawainya untuk mengawasi kesemua lokasi berkenaan pada setiap masa.

Terdapat kira-kira 11 kawasan dibenarkan merokok di Singapura yang antaranya pantai, rumah kediaman, kenderaan persendirian kecuali bas-bas persendirian, kawasan lapang di taman perumahan, laluan pejalan kaki terbuka, dan tanah kosong.

Terdapat juga kawasan yang dikhaskan untuk merokok di tempat larangan merokok, termasuk bilik khas untuk merokok di pusat hiburan dan sudut khas merokok di kawasan penjualan makanan.

Selain itu, Singapura merancang untuk meningkatkan umur sah bagi perokok dan membeli produk tembakau dari 18 kepada 21 tahun.

“Kami mahu melindungi anak daripada kemudaratan akibat tembakau, dan meletakkan asas ke arah kesihatan yang baik,” Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan Singapura Amy Khor dilaporkan berkata di Parlimen pada 9 Mac.

Sekatan itu akan meliputi pembekalan produk tembakau secara runcit dan sosial kepada golongan bawah umur; serta pembelian, penggunaan dan pemilikan produk tembakau oleh golongan bawah umur.

Ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Dr Khor berkata di Singapura, 45 peratus daripada perokok menjadi perokok tetap ketika berumur antara 18 dan 21.

Memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Khor berkata, orang yang tidak mula merokok sebelum berumur 21 “tidak mungkin memulakannya.”

Dengan usaha itu, Singapura dinobatkan sebagai negara yang paling sihat di Asia dan negara keempat paling sihat di dunia.

Singapura tewas kepada Itali, Iceland dan Switzerland dalam Bloomberg 2017 Healthiest Country Index, yang dikeluarkan dalam laporan bertarikh 20 Mac.

Indeks itu menyenaraikan kedudukan 163 negara berdasarkan pembolehubah seperti jangka hayat, punca kematian dan risiko kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penggunaan tembakau, kekurangan zat makanan dan kemudahan air bersih.

 

  • Penulis ialah Koresponden Bernama di Singapura. 

Comments

comments