TPM: Umat Islam Perlu Wujud Budaya Quranik

Oleh Hassan Omar

 

Wujudkan budaya Quranik !

Asas pembudayaan Quranik itu adalah al-Quran dan Hadis, sebagai satu pegangan utuh umat Islam dari Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Itulah yang disimpulkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru umat Islam di negara ini menjadikan tanggungjawab besar untuk menentukan hala tuju serta meletakkan hukum agama bersandarkan dua sumber iaitu al-Quran dan Hadis.

Menerusi dua pegangan itu, kata Ahmad Zahid, kepemimpinan ulama harus memainkan peranan, seterusnya mengajak umat Islam menjadikan budaya Quranik iaitu al-Quran serta hadis sebagai rujukan utama dalam setiap perkara.

“Apabila umat Islam dapat membentuk akal Quranik dalam ummah, ia sekali gus mewujudkan sahsiah atau keperibadian Quranik, yang akhirnya ummah Quranik diwujudkan.

“Al-Quran perlu dijadikan tapak tasawwur yang visinya jauh berpandangan ke hadapan dan akan menentukan ummah bukan untuk tiga hari atau 30 tahun tapi untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, mengetepikan perbezaan politik untuk bersatu berlandaskan al-Quran dan bersama-sama menentukan supaya jangan ada pihak yang berlainan akidah dengan umat Islam mencuba untuk mengajar umat Islam cara untuk ‘menguruskan rumah tangga’ umat Islam.

Beliau menegaskan, umat Islam diajar oleh agama supaya sentiasa bijaksana dalam mentadbir tetapi ‘jika rumah kita dimasuki orang yang tidak sama akidah dengan kita dan mencuba untuk mengajar kita,’ maka umat Islam harus bersatu.

“Biar pun kita berbeza pendapat dalam banyak hal tetapi dalam hal agama, kita jangan berbeza.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk menentukan hala tuju serta meletakkan hukum agama berlandaskan al-Quran dan hadis.

“Islam adalah agama Persekutuan. Jika kita dicabar, kita harus sama-sama berdiri tegak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017M di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Seramai 107 qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran. Majlis tilawah dan menghafaz bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah berlangsung selama enam hari mulai Ahad lalu hingga Sabtu ini.

Ahmad Zahid berkata, al-Quran harus dijadikan tapak tasawwur yang visinya jauh ke hadapan dan bakal menentukan masa depan ummah untuk jangka panjang.

Beliau juga berkata, umat Islam harus menggunakan kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan betul dan tidak menjadikannya sebagai alat untuk menyebarkan fitnah dan memecahbelahkan masyarakat.

“Fitnah siber mewujudkan permasalahan dan krisis sosial dalam kalangan masyarakat. Mari kita kembali kepada al-Quran dan membina semangat perpaduan dan bertoleransi.

“Di tangan kitalah terletaknya kedamaian dan keharmonian. Kejayaan kita melahirkan ramai hufaz al-Quran menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang melahirkan paling ramai hufaz al-Quran di dunia,” katanya.

Comments

comments