ANALISIS : Daesh, Militan Kena Faham Malaysia Tolak Ideologi Ganas

Oleh Kaki Bedal

 

Persoalan mengenai kumpulan militan Daesh memang hangat di seluruh dunia khususnya di negara yang menjadi mangsa serangan gerakan ekstrem itu.

Kalau nak disenaraikan termasuk Britain, Perancis, Belgium, Turki, Pakistan, Iraq, Australia, Kanada, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Libya, Denmark, Bangladesh, Yaman, Kuwait, Tunisia, Lubnan, Syria, Jerman dan terbaru, Mesir.

Kita sepatutnya merasa khuatir dengan Daesh.

Jika diamati senarai negara yang diserang, bukan calang-calang negara kerana termasuk Amerika, Perancis, Turki, Jerman serta Arab Saudi.

Kita patut gusar kerana salah seorang rakyat kita, Muhammad Wanddy kini disenaraikan dalam senarai pengganas global.

Kebimbangan ini wajar kerana Daesh mempunyai kehadiran di Asia Tenggara juga berdasarkan perkembangan di beberapa negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia.

Pada 7 April lalu, di Filipina, seorang warga Kuwait dan seorang dari Syria ditahan di stesen kereta api Metro Manila kerana disyaki ada hubungan dengan Daesh.

Warga Kuwait itu ialah Husayn al-Dhafiri manakala rakannya dari Syria, Rajaf Zina, ditahan pada 25 Mac lalu di kawasan mewah 28th Street di Bonifacio Global City, Taguig.

Dalam sidang akhbar, pihak berkuasa berkata,  Aguirre memberitahu al-Dhafiri diketahui menggunakan beberapa nama samaran seperti Al-Kuwaiti dan Abu Muslim Al-Kuwaiti.

Pada 9 April lalu pula, anggota keselamatan Indonesia menembak mati enam orang yang dikaitkan dengan Daesh dan menangkap seorang lagi kerana merancang serangan ke atas sebuah balai polis.

Jurucakap polis berkata, insiden itu berlaku selepas beberapa lelaki bersenjata  tiba di tempat rehat polis trafik dan sebuah perkampungan di daerah Tuban, Jawa Timur apabila mereka melepaskan beberapa tembakan ke arah anggota keselamatan.

Mereka juga enggan menyerah diri ketika diminta berbuat demikian sebelum enam daripada mereka kena tembakan selepas beberapa jam tembak menembak dengan anggota keselamatan.

Polis memberitahu, penyerang sebahagian rangkaian Daesh menggelar diri Jamaah Ansharut Daulah (JAD) dan merancang melakukan keganasan sebagai membalas dendam tangkapan seorang pemimpin kanan mereka.

Pada Januari lalu, laporan dari Myanmar juga menyatakan kebimbangan mengenai Daesh yang ada kaitan dengan kekejaman ke atas penduduk etnik Rohingya.

Militan dikatakan boleh mengeksploitasi keadaan di sempadan yang tidak dikawal sepenuhnya di antara Bangladesh dan Myanmar.

Malah, jika Daesh mengisytihar wilayah baru di Asia Selatan, berkemungkinan ia adalah negeri Rakhine di Myanmar dan sudah ada hubungan dengan kumpulan militan Jama’atul Mujahideen Bangladesh (JMB) yang pro-Daesh.

Turut dilaporkan ialah kenyataan pemimpin Taliban Pakistan berketurunan Myanmar, Abu Zar al-Burmi, mengutuk kerajaan Myanmar kerana gagal melindungi penduduk Rohingya dan mendesak jihad dilancarkan ke atas negara itu.

Lewat tahun lalu, pihak berkuasa dan media Thailand dan Singapura juga melaporkan kebimbangan mengenai ancaman Daesh.

Akhbar Bangkok Post menyatakan, polis Thai sudah mengesan aktiviti Daesh di negara itu dari polis Australia. Polis Thailand dimaklumkan, seramai 100,000 warga negara Thailand mengunjungi web forum berkaitan Daesh pada 2016.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Srivara Ransibrahmanakul, mendedahkan bahawa ada warga negaranya turut berulang alik dari Syria dan kebanyakan penyokong militan itu adalah dari wilayah selatan Thai termasuk Songkhla, Satun, Trang dan Phatthalung.

Di Singapura, Menteri Undang-Undang dan Dalam Negeri, K Shanmugam memberi amaran mengenai ancaman serangan Daesh di rantau ini selepas pergerakan itu menghadapi kekalahan di medan konflik Iraq dan Syria.

Katanya, kira-kira 1,000 orang dari Asia Tenggara menyertai Daesh. Ini menyebabkan Singapura memperkukuh langkah keselamatan di sempadan kerana ancaman keganasan semakin besar.

Beliau secara khusus merujuk kepada penggunaan pisau dan kenderaan untuk membunuh, seperti yang berlaku di London dan Sweden baru-baru ini.

Atas apa yang berlaku inilah strategi menyeluruh membabitkan semua kerajaan di Asia Tenggara dibuat bagi menyekat penularan pengarah dan dakyah Daesh.

Ini ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dua minggu lalu ketika menjawab soalan di Parlimen mengapa SOSMA memberi manfaat kepada kita.

Beliau memberi jawapan bertulis kepada soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), bahawa 43 orang asing menghadapi tindakan di bawah SOSMA kerana disyaki ada hubungan dengan elemen Daesh di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, lebih berterus terang dengan menyatakan bahawa hasrat Daesh adalah untuk memecahbelahkan kita – Islam, Kristian dan agama yang lain dan respons terbaik adalah untuk bersatu padu dan memerangi ancaman ini melalui satu pakatan bersama.

Jika mahu diperbincangkan lebih lanjut, SOSMA wajar dilanjutkan kerana kita tidak mahu insiden keganasan yang berlaku di kota utama barat mahupun di negara jiran berlaku di negara ini.

Apakah kita mahu ambil risiko dan membiarkan insiden itu meletus di sini?

Sepatutnya perkara ini tidak perlu dibahaskan.

Sudah banyak kali pihak berkuasa di tempat keganasan berlaku sebenarnya ada maklumat mengenai penyerang tetapi tidak dibuat pemeriksaan susulan menyebabkan individu atau kumpulan terbabit mengganas.

Kita perlu nyatakan dengan jelas bahawa Malaysia tidak ada toleransi dengan pihak yang mempunyai niat mencetuskan kekacauan di negara ini.

 

 

* Penulis adalah editor digital kanan yang khusus membuat liputan antarabangsa dan berkecimpung dalam industri media sejak tiga dekad lalu

Leave a Reply