ANALISIS : Panglima Alam Maya – Pengundi Bijak Memilih

Oleh Hassan Omar

 

Seorang bekas wartawan melalui laman sosial Facebook mengemukakan soalan apakah panglima alam maya dibayar?

Pertanyaan itu mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak, terutama mereka yang ‘sealiran’ dengan bekas wartawan itu.

Kebanyakan mereka menghentam panglima alam maya sebagai pencacai Barisan Nasional (BN), terutama pemimpin BN.

Memanglah perkhidmatan panglima alam maya itu dibayar oleh pihak tertentu, khususnya pemimpin yang sayang akan BN sebagai pentadbir atau pemerintah negara ini.

Ini sudah menjadi lumrah.

Perkhidmatan menyatakan pendapat atau pemikiran yang diluahkan melalui penulisan di alam maya seharusnya diberikan ganjaran.

Apa bezanya dengan pejuang siber di pihak pembangkang? Mereka juga dibayar.

Kalau bukan semua pun yang dibayar, pastilah ada yang menerima bayaran daripada perkhidmatan mereka menulis dan memberi sokongan kepada parti pembangkang.

Bagaimanapun, memang diakui ada penulis yang cenderung kepada BN dan pembangkang tidak menerima sebarang bayaran daripada sesiapa pun.

Mereka menulis kerana mereka minat dengan politik dan ingin meluahkan pemikiran dan perasaan mereka melalui penulisan blog tanpa ada sebarang pihak yang membayar perkhidmatan mereka.

Sudah menjadi lumrah, penulisan yang bersifat menghentam tanpa belas kasihan paling digemari oleh pembaca atau khalayak.

Penulisan yang tidak disertakan dengan kata-kata nista lazimnya kurang mendapat sambutan pembaca.

Perkara itu memang sudah menjadi lumrah sifat manusia yang gemar akan perkara yang bersifat mencaci, menghina, menuduh dan seumpamanya.

Namun demikian, apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menulis melalui blog najibrazak.com bertajuk ‘Himpunan Aktivitis Media Sosial 2017’ ialah sudah tiba masanya untuk aktivis media sosial pro BN untuk menyerang musuh-musuh di alam maya dalam usaha mempertahankan kerajaan dan membantu mengekalkan BN di Putrajaya.

Rasanya tidak sukar untuk melihat panglima alam maya yang sedemikian bangkit menyerang pejuang siber yang berpihak kepada pembangkang.

Pembangkang jangan ingat mereka sahaja yang boleh menyerang.

Sebenarnya, panglima alam maya pro BN juga mampu melancarkan serangan ke atas pembangkang berasaskan bukti dan bukannya sekadar tohmahan atau ibarat lempar batu sembunyi tangan yang sering dilakukan pembangkang.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi Perdana Menteri mahu panglima alam maya pro BN tidak lagi bertindak balas terhadap pembangkang hanya selepas diserang.

Kali ini serangan berasaskan fakta harus dilakukan ke atas pembangkang kerana semakin diberi muka, semakin galaklah pejuang siber pembangkang mengeksploitasi isu semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

Zaman untuk panglima alam maya pro BN sekadar menanti serangan sudah berakhir.

Yang ada sekarang ialah serangan demi serangan yang bakal dilancarkan ke atas pembangkang.

Biar pengundi yang menjadi penentu siapa yang bakal memenangi peperangan di alam maya ini.

 

  • Penulis ialah wartawan digital kanan yang berpengalaman lebih 25 tahun.

Leave a Reply