DEWAN NEGARA : Kerajaan Pastikan Pemilikan Hartanah Warga Asing Tidak Jejaskan Peluang Rakyat Tempatan

Peratusan pemilikan hartanah oleh warga asing di negara ini telah berkurangan sejak kerajaan menetapkan had minimum RM1 juta harga hartanah untuk golongan berkenaan pada 2014, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Lee Chee Leong berkata berdasarkan statistik yang diperoleh, peratus pindah milik kepada warga asing untuk pelbagai sektor hartanah juga kurang daripada dua peratus, dan ini dapat disimpulkan bahawa peluang bagi warga tempatan untuk memiliki rumah masih tidak terjejas.

“Berdasarkan rekod, bilangan hartanah kediaman melebihi RM1 juta tidak terjual telah meningkat jumlahnya daripada 2014 iaitu 413 unit kepada 2,116 unit pada 2016.

“Dengan adanya pembelian hartanah oleh warga asing, sebenarnya ia memberi kesan positif kepada

negara kerana dapat mengurangkan bilangan hartanah tidak terjual terutama yang melebihi RM1 juta,” katanya menjawab soalan Senator Chia Song Cheng pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Chia ingin tahu jumlah hartanah yang dimiliki warga asing mengikut negara asal sejak 2012 sehingga kini, serta apakah jangkauan harga hartanah tersebut serta adakah pelaburan asing ini akan menjejaskan peluang orang tempatan dari segi pemilikan rumah atau peluang pekerjaan.

Pada 2014, sebanyak 247,251 unit rumah terjual di pasaran dengan 2,406 unit dibeli warga asing iaitu merangkumi satu peratus.

Pada 2015, jumlah pemilikan rumah oleh warga asing menurun kepada 1,156 unit daripada keseluruhan 235,967 unit iaitu 0.5 peratus, manakala untuk 2016, peratusan pemilikan rumah oleh warga asing menurun kepada 0.3 peratus iaitu 706 unit daripada keseluruhan 203,064 unit.

Walaupun peratusan menurun dengan mendadak sejak pengenalan had minimum harga hartanah oleh Majlis Tanah Negara pada 2014, Lee berkata pembelianhartanah oleh warga asing terutama dalam sektor industri dan perdagangan masih diperlukan kerana ia dapat menggalakkan pelaburan asing di negara ini seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan. — BERNAMA

Comments

comments