DEWAN NEGARA : Lebih Banyak Barangan Keperluan OKU Perlu Pelepasan GST

Seorang senator hari ini meminta kerajaan memberi pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada lebih banyak barangan keperluan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

K. Bathmavathi yang juga OKU berkata pada mula pelaksanaan GST, hanya 11 barangan yang dikecualikan GST untuk OKU, ia kemudian ditambah 20 menjadi 31.

Kerajaan perlu berbincang dengan persatuan-persatuan berkaitan OKU untuk menambahkan lagi bilangan senarai barangan tersebut ,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Dewan Negara hari ini.

Ketika ini, antara barangan keperluan OKU yang dikecualikan GST ialah kerusi roda bermotor, tongkat dan alat bantu pendengaran.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan dana khas untuk membantu golongan OKU memiliki rumah sendiri.

Bathmavathi berkata sehingga kini hanya terdapat 500,000 OKU di negara ini berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi mengikut anggaran World Report on Disability terdapat seramai 4.5 juta OKU di negara ini berdasarkan populasi penduduk negara. — BERNAMA

Comments

comments