Ulang Tahun UMNO Ke-71: Spekulasi Membantu Menambah Kekuatan Parti

Oleh Hassan Omar

 

UMNO tidak pernah sunyi daripada menghadapi cabaran demi cabaran.

Setiap cabaran itu membolehkan UMNO bertambah matang.

Menjelang usia UMNO mencapai 71 tahun pada 11 Mei depan, UMNO bukan lagi sudah matang, malah sudah mencapai tahap yang diistilahkan
sebagai ‘sekilas ikan di air sudah dikenal yang mana jantan dan yang mana betina.’

Ia bermakna walaupun sekadar melihat dengan sekali imbas, parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu itu sudah memahami apa yang tersirat.

Maknanya, apa yang dimahukan oleh rakyat dan pengundi sudah dapat dibaca sama ada oleh pemimpin atau ahli UMNO di peringkat akar umbi.

Namun demikian, sudah pastilah bacaan mereka itu bergantung kepada pengalaman masing-masing dan setakat mana kemampuan mereka memiliki laluan dalam parti sama ada di peringkat cawangan atau bahagian atau lebih tinggi lagi di peringkat pusat.

Menjelang sambutan ulang tahun penubuhan UMNO kelak, tiada perpecahan dalam parti. Ia ditegaskan oleh Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan parti politik tidak boleh terkecuali daripada segelintir ahli parti yang tidak berpuas hati terhadap satu-satu perkara.

Namun, setiap masalah itu harus diatasi segera.

Sudah menjadi lumrah, apabila seseorang pemimpin berada di tahap tinggi dalam parti, akan ada pihak dalam parti yang mencuba menduga atau sengaja mencipta spekulasi mengenai kedudukan seseorang pemimpin.

Ahmad Zahid tidak terkecuali daripada diduga dengan pelbagai spekulasi.

Sejak satu atau dua minggu lalu, beliau diduga dengan cakap-cakap politik yang dicipta oleh pembangkang dan tidak kurang juga ahli parti sendiri.

Kebanyakan cakap-cakap itu berkisar pada kedudukan atau jawatan yang sedang dipegang oleh Ahmad Zahid, terutama yang di dalam UMNO dan yang dalam kerajaan.

Ada yang mendakwa beliau tidak akan dapat bertahan lama dalam kerajaan dan ada juga yang membuat telahan kononnya menjelang pemilihan UMNO akan datang, beliau akan dicabar oleh pemimpin UMNO yang tertentu.

Inilah antara cakap-cakap yang menyebabkan timbulnya andaian sesetengah pihak kononnya sambutan ulang tahun penubuhan UMNO akan menyaksikan pemimpin UMNO terpaksa berlakon atau berpura-pura bersatu bagi mempamerkan kekuatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Namun dalam UMNO, setiap kali timbul spekulasi, maka akan semakin kukuhlah UMNO kerana semakin kuat cakap-cakap politik timbul, maka pemimpin UMNO semakin erat memegang antara satu sama lain.

Jika ada pun sedikit pergeseran antara sesama pemimpin UMNO kerana bertanding untuk memegang jawatan tertentu dalam parti, ia adalah adat dalam pertandingan. Akan ada pihak yang melepasi ranjau berduri dan akan ada juga pihak yang terpaksa akur pada kekalahan.

Yang penting ialah sesiapa yang menang dalam parti tidak pernah melupakan yang tewas. Ibarat carik-carik bulu ayam, lambat laun bercantum juga.

Menjelang sambutan penubuhan UMNO, akan timbul lagi banyak tohmahan, terutama daripada pembangkang dan individu yang mendakwa diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap keadaan politik semasa dan masa depan negara.

Pembangkang dan individu terbabit akan mencipta pelbagai andaian ciptaan mereka sendiri mengenai masa depan pemimpin UMNO, termasuklah Ahmad Zahid, apatah lagi Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Hasrat mereka hanyalah untuk menyaksikan UMNO dan BN tumbang dalam PRU-14.

Namun, hasrat itu bukanlah boleh dicapai dengan mudah kerana UMNO dan BN sudah lama bermain politik dan yang paling penting ialah UMNO dan BN akan terus mendapat keyakinan majoriti pengundi dalam PRU-14, insya-Allah.

Leave a Reply