Unisel Muncul Universiti Pertama Sertai ‘One University One Centre’

Universiti Selangor (Unisel) muncul institusi pengajian tinggi pertama di negara ini menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menjayakan program One State One University One Centre di bawah Program Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE).

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata di bawah program itu, atlet lepasan sekolah dapat meneruskan pengajian dengan bantuan dan sokongan Majlis Sukan Negeri dan juga persatuan sukan negeri tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.

“Ini membolehkan atlet tidak berhijrah ke negeri-negeri lain dan semangat cintakan kepada negeri akan lebih kuat. Kita juga akan mewujudkan persekitaran yang lebih kompetitif dalam kalangan atlet di peringkat umur lepasan sekolah sehingga menjadi atlet kebangsaan.

“Program ini juga membolehkan satu kesinambungan kualiti di peringkat sekolah ke peringkat negeri untuk Sukan Malaysia (Sukma). Pada akhirnya, semua atlet yang bertanding di Sukma nanti adalah atlet universiti di negeri itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MSN, Unisel dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) di sini hari ini.

Pada majlis menandatangani MoU berkenaan, Unisel diwakili Presiden yang juga Naib Canselor Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman manakala MSNS diwakili Pengarah Eksekutif Mohd Zubir Idrus.

Ahmad Shapawi berkata di bawah program itu juga, ia akan membuka mata masyarakat khususnya ibu bapa yang selama ini bimbang anak-anak mereka tidak mendapat jaminan dari segi akademik sekiranya bergiat cergas dalam sukan dan bercita-cita menjadikan sukan sebagai kerjaya mereka.

“Sistem ini sama digunakan di Amerika Syarikat. Melalui program ini, satu platform pusat latihan yang berkualiti dapat diwujudkan untuk kemudahan atlet dan ia boleh menarik bukan sahaja atlet masuk universiti, jurulatih juga akan masuk universiti serta acara sukan dapat disemarakkan lagi di peringkat universiti,” katanya.

Ahmad Shapawi berkata MSN juga menyasarkan untuk mengadakan perjanjian dengan universiti di seluruh negara pada akhir tahun ini.

“Unisel adalah universiti pertama dan Majlis Sukan Negeri Selangor adalah majlis sukan negeri pertama menerima pelawaan kita untuk menjalinkan kerjasama. Selepas ini, kita akan adakan MoU dengan UiTM Machang dan menjelang akhir tahun ini, kita akan dapatkan setiap negeri untuk mempunyai program One State One University One Centre,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Unisel berkata di bawah program itu, atlet tidak perlu merasa tertekan untuk menamatkan pengajian kerana Unisel sedia untuk mengubah suai jadual dan juga keperluan pengajian mengikut kesesuaian atlet berkenaan.

“Kita di Unisel sedar keperluan pelajar biasa dan pelajar terlibat dalam sukan adalah berbeza. Kita telah berbincang mengenai ubah suai kurikulum akademik dengan memasukkan sukan seperi latihan, pertandingan, kemenangan sebagai jam kredit untuk membolehkan atlet menamatkan pengajian mereka,” katanya.

Mohammad Redzuan berkata pengambilan pelajar di bawah program itu akan dilaksanakan secepat mungkin. – BERNAMA

Comments

comments