Dewan Negara: 19,073 Wanita Terlibat Perniagaan Atas Talian Berdaftar Dengan SSM Setakat Mac

Seramai 19,073 wanita berdaftar sebagai pemilik perniagaan atas talian setakat 31 Mac lepas, Dewan Negara hari ini diberitahu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Paduka Chew Mei Fun berkata daripada jumlah berkenaan, seramai 17,969 berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan 1,104 orang lagi sebagai pemegang saham syarikat di bawah Akta Syarikat 2016.

“Jumlah wanita sebagai pengarah syarikat perniagaan dalam talian ialah 1,124 orang,” katanya semasa menjawab soalan Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yang ingin tahu usaha bagi meningkatkan peluang pekerjaan kepada kumpulan B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) khusus golongan ibu tunggal di luar bandar termasuk mengadakan kursus perniagaan atas talian.

Bagi meningkatkan penyertaan golongan wanita terutama ibu tunggal dalam perniagaan atas talian, Chew berkata kementerian bekerjasama dengan pusat e-dagang dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi menggalakkan penyertaan wanita, sekali gus mendaftarkan perniagaan mereka.

Setakat ini empat karnival ‘one SSM’ telah dilaksanakan oleh SSM yang turut melibatkan persatuan wanita dan ibu tunggal di seluruh negara.

Chew berkata latihan peringkat awal kepada para wanita berpotensi menjadi usahawan di bawah program kementerian dan kerjasama dengan kementerian serta agensi lain turut diberikan kepada mereka.

“Bagi usahawan wanita yang telah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan, mereka akan terus dibimbing dan dipastikan memiliki sijil yang melayakkan mereka bergelar usahawan,” katanya.

Antara kursus dan bantuan yang dijalankan ialah program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan Inkubator Keusahawan Wanita dan program Bazar Wanita yang merangkumi bidang jahitan, kecantikan dan lain-lain agar golongan ini mampu menjana pendapatan untuk keluarga mereka.

“Semua program ini akan diteruskan termasuk pembiayaan dana oleh MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan melalui program 1AZAM yang telah membantu ramai wanita dan ibu tunggal bergelar usahawan,” katanya. — BERNAMA

Comments

comments