DEWAN NEGARA : KPKT Lulus 30 Projek Selenggara Rumah Dengan Kos RM56.9 Juta Sehingga Mac

Sejumlah RM56.9 juta diluluskan sehingga Mac bagi membiayai 30 projek penyelenggaraaan dan menaik taraf perumahan kos rendah dan sederhana di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata kos berkenaan adalah sebahagian daripada RM300 juta peruntukan yang diumum kerajaan dalam Bajet 2017.

“Baki RM243.1 juta lagi akan digunakan bagi membiayai lebih banyak projek penyelenggaraan dan menaik taraf perumahan berstrata rendah dan sederhana terutama Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibangunkan kerajaan,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Jaspal Singh semasa sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau ingin tahu jumlah peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan perumahan (flat) kos rendah serta statistik projek perumahan kos rendah yang telah diperbaiki sejak 2016.

Halimah berkata turut dibaik pulih termasuk 60 buah lif projek perumahan berstrata kos rendah dan sederhana, selain memberi fokus membaik pulih tangki air, bumbung dan mengecat baharu bangunan bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

Pada masa ini, terdapat dua program penyelengaraan perumahan berstrata iaitu Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) yang bertujuan membiayai kerja baik pulih dan penyenggaraan perumahan kos rendah awam berstrata.

Satu lagi program ialah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah berstrata kos rendah dan sederhana rendah swasta yang berusia 10 tahun ke atas.

Halimah berkata tahun lepas, kerajaan membelanjakan sejumlah RM41.2 juta bagi membiayai 87 projek penyelenggaraan perumahan terbabit di seluruh negara. — BERNAMA.

 

Leave a Reply