FAMA Perlu Pasar Raya Besar Bagi Usahawan Tani

Oleh Kaki Bedal

 

Sudah tiba masanya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau FAMA mempunyai pasar raya besar yang tersendiri.

Idea untuk mewujudkan Pasar Raya Besar FAMA di setiap negeri atau bandar besar pernah dibangkitkan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara oleh beberapa Ahli Parlimen beberapa tahun lalu.

Peranannya adalah sama seperti Pasar Raya Besar yang lain seperti Tesco, AEON Big atau Econsave.

Namun masih dilihat tiada keperluan kerana dikatakan FAMA mempunyai pasar tani yang diwujudkan di seluruh negara.

Tetapi penulis berasakan sudah tiba masanya kerana menerusi pasar raya besar itu, pasaran semakin meluas, permintaan boleh dibekalkan dalam skala yang besar dan kualiti terjamin.

Yang pasti, produk tani dan ternakan adalah datangnya dari petani tempatan sendiri.

Kalau kita lihat sahaja program Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) bimbingan Fama di seluruh negara mencatat nilai jualan sebanyak RM28 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ini baru produk buah-buahan tempatan, belum lagi ternakan dan sayur-sayuran yang lain.

Seperti mana kata Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin, hasil jualan buah-buahan itu disumbangkan oleh 372 usahawan yang melibatkan pembukaan 418 gerai menjual buah-buahan tempatan bermusim dan tidak bermusim di samping buah-buahan import.

“Ini satu peluang bagi mengukuhkan ekonomi kumpulan sasar selain menghapuskan manipulasi harga orang tengah,” katanya.

Penulis juga selari dengan Pengerusi FAMA, di mana FAMA merancang untuk melahirkan 25 usahawan baharu dan gerai baharu di bawah program GBBS di seluruh negara tahun ini selepas pulangan yang diraih tahun lepas memberangsangkan iaitu RM190 juta.

Malahan FAMA juga dalam usaha menaik taraf secara berperingkat semua 418 GBBS sedia ada selain meminta kerajaan negeri menyediakan tapak-tapak yang sesuai untuk membina gerai berkenaan dengan kosnya ditanggung oleh agensi itu sendiri.

Seperti di Perak, penulis dimaklumkan terdapat 30 usahawan Fama menjalankan perniagaan buah-buahan di 33 GBBS yang memberi pulangan nilai jualan lebih RM2 juta bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun ini manakala pada tahun lepas mereka mencatat jualan RM22.422 juta.

Menerusi angka jualan memberangsangkan pada tahun lalu, pencapaian usahawan GBBS Perak boleh dibanggakan berikutan jualan bagi negeri itu berada di tiga terbaik di belakang Kedah (RM27.8 juta) dan Pahang (RM22.9 juta).

Projek GBBS bermula sejak April 2006 antara lain memperluaskan ruang pasaran khususnya buah-buahan tempatan selain mengatasi masalah lambakan buah-buahan supaya pemilik kebun dapat memasarkan sendiri hasil mereka terus kepada pengguna.

Idea dalam merangka meningkatkan ekonomi dan pendapatan usahawan tempatan itu penting dalam memastikan pulangan terhadap naik taraf pendapatan terus dikekalkan.

 

Comments

comments