Pengunduran Pemimpin PPBM: Cabaran PPBM Kian Longlai

Oleh Hassan Omar

 

Belum pun bertempur di medan perang, seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman sudah mengumumkan berundur daripada parti itu.

Ibarat anggota tentera yang pada mulanya bersemangat untuk melangkah ke medan perang tetapi tiba-tiba sahaja tidak mahu meneruskan hasratnya itu untuk berkorban demi pasukannya.

Sebagai seorang daripada mereka yang bertanggungjawab mengasaskan PPBM, sudah tentulah beliau mempunyai sedikit sebanyak pengaruh dalam parti hingga beliau berani membuat kenyataan seramai 821 ahli parti itu di seluruh negara mengumumkan keluar parti.

Oleh sebab beliau mendakwa PPBM tiada hala tuju yang jelas untuk membela rakyat, beliau yang juga Ahli Majlis Pemimpin Tertinggi BERSATU turut mengumumkan peletakan semua jawatannya, iaitu Ketua Penaja PPBM Bahagian Teluk Kemang dan Setiausaha Kerja PPBM Pusat, selain menolak tawaran Pengerusi Perhubungan BERSATU Negeri Sembilan.

Beliau mendedahkan kepincangan dalam PPBM, iaitu pemimpin atasan parti itu tidak mahu mendengar pendapat atau suara mereka yang baru menyertai politik.

Inilah akibatnya jika pemimpin yang di atas terlalu bergantung kepada maklumat salah diberikan oleh mereka yang hanya bercakap mengenai perkara yang sedap didengar dan beliau sendiri mengakui tidak mudah untuk PPBM menang di kawasan yang majoriti pengundinya Melayu.

PPBM ditubuhkan pada September tahun lalu bukan untuk membela orang Melayu walaupun parti itu pernah menegaskan ia adalah berasaskan perjuangan orang Melayu.

Sebaliknya, PPBM ditubuhkan oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir semata-mata kerana mereka mahu menewaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Ketika Dr Mahathir mencemuh pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas BN mencatatkan rekod terburuk dalam Pilihan Raya Umum 2008, beliau tidak sampai ke tahap menubuhkan parti politik untuk menjatuhkan Abdullah tetapi dalam pentadbiran Najib, beliau berkerat rotan, berpatah arang dengan Najib.

Muhyiddin dan Mukhriz ikut serta kerana mereka sudah terpinggir daripada UMNO lantaran tidak setia kepada perjuangan parti dan Presiden UMNO.

Atas dasar ingin menumbangkan Barisan Nasional (BN), Dr Mahathir sanggup melupakan kata-katanya sendiri ketika memimpin UMNO dan BN, iaitu DAP bukanlah parti yang boleh dipercayai kerana parti itu mengamalkan sifat perkauman dan tidak akan mampu membela bangsa Melayu.

Dalam pemikiran pemimpin PPBM, orang Melayu khususnya yang berusia kurang 40 tahun akan memberikan sokongan kepada calon parti itu dalam PRU-14.

Bagaimanapun, mereka terlupa bahawa pengundi muda Melayu juga bimbang apabila melihat Dr Mahathir sudah berjabat tangan dengan pemimpin DAP dan duduk bersama-sama atas pentas pembangkang.

Bukan semua pengundi muda yang tidak mengenali siapa sebenarnya Lim Kit Siang. Melalui pembacaan sejarah pembabitan Kit Siang dalam DAP sekitar tahun 1960-an hingga kini, mereka tidak mungkin percaya kononnya DAP tidak mengamalkan perkauman.

PPBM sudah berkira-kira mampu menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tertentu yang pada pendapat mereka akan menyaksikan perubahan sokongan pengundi daripada UMNO kepada PPBM.

Namun, PPBM harus ingat bahawa pengunduran pemimpin parti itu seperti yang dilakukan oleh Kamarul membuktikan parti berkenaan tidak mempunyai kekuatan jentera untuk melaksanakan kerja-kerja jentera pilihan raya apabila tiba waktunya.

Kebergantungan PPBM kepada jentera rakan sepasukannya seperti DAP, PKR dan AMANAH tidak akan membolehkan PPBM menang kerana hakikatnya rakan-rakannya dalam pasukan itu juga menghadapi masalah untuk menggerakkan jentera masing-masing.

Akhirnya, PPBM akan tinggal sebagai parti yang hanya gah dari aspek hujah-hujah bekas pemimpin negara seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin yang sedikit sebanyak mampu menggoncang UMNO tetapi hakikatnya tidak akan mampu menumbangkan UMNO dan BN, insya-Allah.

Comments

comments