3,000 Dijangka Sahut Cabaran DITR 2017

Lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyahut cabaran Deuter International Trail Run 2017 (DITR) di Batu Arang, Selangor pada 7 Mei ini.

Malah, setakat ini, 100 peserta antarabangsa termasuk dari Filipina, Indonesia, United Kingdom, India, Brunei, Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Singapura sudah mengesahkan penyertaan.

Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), Datuk Radha Krishnan, berkata penganjuran larian lasak berkenaan mendapat sambutan dari peserta tempatan dan luar negara kerana ia menjanjikan cabaran tersendiri.

Radha berkata, UFL selaku penganjur memberi jaminan bahawa DITR 2017 akan menjadi lebih mencabar apabila pihaknya menambah jarak trek larian daripada 12 kilometer (km) sebelum ini kepada 14km, merangkumi kawasan bersejarah di Batu Arang.

“Pada tahun ini, peserta larian lasak DITR dapat merasai pengalaman berbeza kerana jarak perlumbaan ditambah, selain banyak halangan merangkumi 20 peratus laluan bertar dan 80 peratus lagi ‘off road’.

“Bagaimanapun, dari segi kategori penyertaan, ia masih lagi sama iaitu terbuka lelaki dan wanita, lelaki dan wanita veteran serta kategori media,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Krishnan berkata penganjuran DITR juga secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri mempromosikan Batu Arang sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik. – BH ONLINE

Comments

comments