DEWAN NEGARA : 49.9 Peratus Ketirisan Air Di Kelantan Akibat Sistem Paip Lama – Devamany

Sebanyak 49.9 peratus daripada ketirisan air di Kelantan berlaku di kediaman penduduk di seluruh negeri berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri S.K. Devamany berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mendapati keadaan tersebut berlaku akibat sistem perpaipan (pili) lama masih digunakan menyebabkannya pecah, bocor dan berlaku ketirisan air.

“Masalah di Kelantan, kementerian mendapati keadaan itu tidak berlaku di paip-paip utama loji air tetapi di kediaman sahaja kerana struktur paip di kebanyakan kediaman masih menggunakan sistem lama,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara hari ini mewakili KeTTHA.

Sehubungan itu, Devamany menggesa kerajaan negeri memantau ketirisan air ini kerana jumlahnya agak besar dan merugikan sumber semula jadinya.

Dalam pada itu, Devamany berkata sejak 2015 KeTTHA telah membaik pulih 10 loji lama dan membina sebuah loji baharu di negeri berkenaan dengan peruntukan RM293 juta.

Katanya, langkah tersebut dapat dilakukan hasil kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan dalam usaha memodenkan sistem air di negeri itu.

“Saya akui air di Kelantan memang bermasalah kerana 55 peratus sahaja sumber itu diambil dari sungai manakala 45 peratus dari bawah tanah, tetapi penstrukturan semula akhirnya boleh dilakukan melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat,” katanya.

Devamany juga menyarankan senator, anggota Parlimen dan pemimpin Kelantan dapat memberi nasihat kepada pemimpin Selangor supaya membuka ruang kerjasama dengan kerajaan Pusat bagi menyelesaikan kemelut air di negeri tersebut.

Katanya kerajaan negeri Selangor perlu melupakan soal politik dan menyelesaikan semua isu berkaitan bekalan air di negeri itu demi kesejahteraan rakyat. — BERNAMA

Leave a Reply