Pengusaha PKS Perlu “Tekan Butang” !

Oleh Kaki Bedal

 

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memberi sumbangan yang penting kepada negara khususnya dalam Keluaran Negeri Kasar (KDNK), pekerjaan dan eksport negara.

PKS memainkan peranan yang sangat penting kepada negara.

PKS menyumbangkan sebanyak 32% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), 59% daripada guna tenaga dan 19% daripada eksport negara, menurut Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan.

Menurut bancian ekonomi 2011, PKS di Malaysia mewakili 97.3% atau 645,136 pertubuhan daripada 662,939 daripada jumlah pertubuhan keseluruhan di negara ini.

Oleh kerana kepentingan yang dimainkan oleh PKS dalam pembangunan ekonomi, inovasi dalam PKS dibincangkan secara meluas dalam penyelidikan lepas.

Walaupun PKS mempunyai kekangan sumber untuk melakukakan inovasi, namun, dengan saiz PKS yang kecil dan struktur yang dapat bertindak balas dengan lebih cepat memudahkan aktiviti inovasi dalam PKS .

Namun apa yang dihasratkan itu kadang-kala tidak menepati.

Tetapi itu lumrahnya kerana setiap perniagaan ada cabarannya. Untung rugi perkara yang biasa.

Seperti mana kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), sumbangan eksport daripada PKS Malaysia masih rendah walaupun jumlah mereka agak besar.

Penulis tidak terkejut tetapi menghairankan kerana selama ini pun kerajaan begitu bertungkus lumus dalam memastikan setiap pengusaha PKS berdaya saing terutama di peringkat antarabangsa.

Namun perlu diakui apa yang diperkatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros iaitu penerokaan seberang laut di kalangan lebih 900,000 PKS tempatan berada pada sekitar 17.8 peratus, dengan Pelan Induk PKS menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 23 peratus menjelang 2020.

Kata beliau lagi, PKS tempatan perlu berusaha keras untuk menembusi pasaran eksport untuk memastikan kemampanan perniagaan ketika Malaysia meneruskan agenda globalisasi.

“Peranan PKS adalah penting kepada ekonomi dan pembangunan sosial kerana mereka menyumbang 36 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan 65 peratus pekerjaan negara,” kata.

Penulis difahamkan terdapat banyak peluang di seberang laut untuk syarikat Malaysia ceburi, dengan ASEAN sahaja mempunyai pasaran 625 juta orang, dengan China, rakan kongsi Malaysia terbesar (1.4 bilion orang) dan India, rakan kongsi perdagangan sedang muncul Malaysia, 1.3 bilion orang.

Terdapat pasaran besar lain seperti Amerika Syarikat, Amerika Latin, Eropah dan Afrika.

Penulis berharap para usahawan atau pengusaha PKS segera ambil peluang kerana MATRADE sentiasa mempelawa semua PKS Malaysia untuk mendaftar sabagai anggota MATRADE.

Langkah pro aktif ini perlu ada dalam usaha memanfaatkan program terbaru MATRADE.

Perkara ini penting kerana MATRADE sendiri akan kemas kini peluang eksport dari seluruh dunia.

Pengusaha PKS kena tahu bahawa terdapat 47 pejabat perdagangan global MATRADE yang boleh membantu menghubungkan PKS tempatan dengan rakan kongsi perniagaan berpotensi di seluruh dunia.

Kempen kesedaran jenama Merentasi Negara dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada September 2016, dengan tujuan mewujudkan pemahaman mengenai eksport dan menjadikannya nilai perniagaan seragam untuk semua PKS.

Kempen itu membantu menyemai inspirasi untuk berniaga merentasi sempadan, meningkat daya pemikiran PKS dan keluar daripada zon selesa serta menembusi pasaran seberang laut.

Ayuh pengusaha PKS, tunjukkan daya saing yang bersifat glokal iaitu jaguh di peringkat antarabangsa, hebat di peringkat lokal.

Leave a Reply