Bagi memupuk kreativiti, ibu bapa perlu tahu bagaimana untuk membentuk satu persekitaran yang boleh membantu anak-anak mengembangkan daya kreativiti dan memastikan setiap apa yang mereka lakukan adalah sebuah proses pembelajaran.

Jika mereka mahu bermain, pastikan mainan anak mampu mengembangkan minda dan membuatkan dia berfikir secara kreatif.

Antaranya, mainan bongkah binaan atau apa sahaja yang cara permainannya tidak terhad kepada satu kaedah sahaja.

Memahami keperluan ibu bapa zaman sekarang yang mementingkan aspek daya kreatif dan inovatif dalam diri anak mereka, Mattel memperkenal lima set rangkaian trek lumba baharu, iaitu Hot Wheels Track Builder dengan set binaan bata Mega Bloks.

Komponen baharu pembinaan itu akan memberi cabaran dalam dunia mainan Hot Wheels dengan aksi-aksi epik.

Peminat mainan ini berpeluang mencipta sendiri trek lumba kereta mengikut kreativiti aksi masing-masing.

Pengurus Jenama Kanan, Mattel Asia Tenggara, Christine Chan berkata, sejak tahun lalu lagi pihaknya telah mengeluarkan set trek lumba Track Builder.

Bezanya, tahun ini, mereka mahu melakukan kelainan dengan menampilkan komponen Mega Bloks untuk menambahkan elemen epik dalam pembinaan trek lumba.

Ujarnya, rangkaian mainan Mega Bloks sudah mempunyai peminatnya tersendiri.

“Jadi dengan gabungan unsur tersebut dalam mainan lumba kereta, pasti memberikan pengalaman yang berbeza khususnya dalam membina sebuah trek lumba yang lengkap.

“Apabila kanak-kanak mula berfikir bagaimana mahu mencipta sebuah trek mengikut kemahuan mereka, secara tidak langsung mereka mengembangkan daya kreativiti melalui imaginasi dan idea asal sendiri.

“Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya sedang didedahkan dengan elemen seni bina dan kejuruteraan.

“Mainan baharu ini dijangka memberikan satu keghairahan kepada kanak-kanak yang inginkan kelainan ketika bermain.

“Kami sentiasa berusaha memberi inspirasi dan keajaiban kepada kanak-kanak. Kami tidak sabar untuk berkongsi mainan baharu ini bersama-sama ‘jurutera-jurutera’ cilik,” katanya pada pelancaran Hot Wheel Track Builder dengan set binaan bata Mega Bloks di Petaling Jaya baru-baru ini

Sebagai salah satu usaha untuk membantu kanak-kanak terus berimaginasi dengan kreativiti mereka, Mattel turut memperkenal siri enam episod The Engineer dengan kolaborasi bersama penyampai radio dan pengacara televisyen, Tiong Button.

Program tersebut akan menyiarkan tentang kaedah-kaedah pembinaan trek lumba Hot Wheels Track Builder bersama set-set lain dalam rangkaian Hot Wheels untuk memberi idea kepada kanak-kanak membina trek lumba idaman mereka.

Button yang merupakan pengumpul Hot Wheels sejak dari kecil, menterjemahkan kemahirannya dalam permainan tersebut dengan mengintegrasikan rekaan trek melalui elemen-elemen yang boleh didapati di rumah seperti menggunakan cawan plastik untuk mewujudkan aksi yang lebih epik dan mendebarkan.

“Permainan ini sangat mudah dan tidak mudah rosak menjadikan ia pilihan ibu bapa dari generasi dahulu sehingga kini sebagai permainan minda ,” katanya. – UTUSAN ONLINE