United Mara Ke Separuh Akhir, Zlatan Cedera

Oleh Farris Helmy

 

Manchester United akhirnya berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Eropah selepas menundukkan Anderlecht di Old Trafford, awal pagi tadi.

United bermula dengan baik di awal permainan dengan melakukan beberapa hantaran yang mengelirukan pihak lawan. Hasilnya, Henrikh Mkhitaryan berjaya menjaringkan gol dengan satu rembatan yang menarik di dalam kotak penalti.

Namun, kegembiraan tersebut berjaya dipadamkan oleh ketua pasukan Anderlecht, Sofianne Hanni pada minit ke 36 selepas menyempurnakan bola yang terbias sekaligus menewaskan Sergio Romero dan Danny Blind.

Perlawanan terpaksa diheret ke slot masa tambahan selepas kedua-dua pasukan masih terikat 1-1 sehingga tamat 90 minit.

Pemain muda Manchester United, Marcus Rashford menjadi wira pada malam ini apabila menyempurnakan hantaran Marounne Fellaini untuk meletakkan United kembali di hadapan.

Kemenangan United pada malam ini dibayar dengan harga yang mahal apabila dua tonggak mereka, Marcos Rojo dan Zlatan Ibrahimovic terpaksa diusung keluar akibat kecederaan.

Zlatan dan Rojo dijangka akan terlepas perlawanan menentang seteru tradisi, Manchester City pada 29 April nanti.

Leave a Reply