Speaker Bawa 3 Kamus Jelas Makna Bankrap, Insolvensi

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar ‘berperang mulut’ dengan Ahli DUN DAP dari Kota Sentosa, Chong Chien Jen, berkenaan takrifan bankrap dan insolvensi dalam Persidangan DUN Sarawak di sini, sebentar tadi.

Keadaan itu berlaku selepas Chien Jen yang juga Pengerusi DAP Sarawak selesai membacakan usul agar Menteri Kewangan II, Datuk Seri Wong Soon Koh (BN-Bawang Assan), menarik semula kenyataan berkenaan dakwaan Ahli DUN Pujut yang dipecat, Dr Ting Tiong Choon, sudah diisytihar bankrap di Australia pada 2012.

Tindakan wakil rakyat DAP itu adalah strategi ‘menutup malu’ selepas wakil rakyatnya itu dipecat, selain cuba meraih persepsi bahawa keputusan dibuat Mohamad Asfia yang memecat wakil pembangkang itu adalah tidak sah.

Usul dikemukakan Chien Jen ditolak kerana Dr Tiong Choon tidak berada dalam DUN kerana sudah dipecat mengikut Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Negeri Sarawak kerana mempunyai kewarganegaraan negara luar iaitu Australia, selain mendaftar sebagai pengundi di negara sama.

Dewan gamat seketika selepas Mohamad Asfia bangun dari kerusinya sejurus membuat keputusan menolak usul dikemukakan, sekali gus membuatkan Chien Jen kelihatan terpinga-pinga seketika kerana tidak berkesempatan mencelah.

Mohamad Asfia kembali semula ke kerusinya beberapa saat kemudian, sambil meletakkan tiga kamus berbahasa Inggeris di hadapannya bagi tujuan menerangkan kepada Chien Jen takrifan bankrap dan insolvensi serta punca usul itu ditolak.

Katanya, Dr Tiong Choon dipecat dari Dewan kerana menyalahi Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Negeri Sarawak, bukan dipecat atas sebab bankrap mengikut Perkara 17 (1) (b) Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Usul ini ditolak kerana Dr Tiong Choon tidak berada di Dewan untuk menjawab tuduhan berkenaan bankrap, tambahan pula beliau bukan lagi ahli DUN Sarawak.

“Sekiranya, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan bankrap dikemukakan Soon Koh, beliau boleh merujuk semula dengan pihak berkuasa Australia… tapi beliau bukan lagi ahli Dewan kerana sudah dipecat,” katanya. — BHONLINE

Leave a Reply