ANALISIS : Hanya Pemimpin Memiliki Daya Tahan dan Kesabaran Mampu Menempuh Cabaran Politik

Oleh Hassan Omar

 

Bekas pemimpin UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang meningggalkan perjuangan parti adalah pemimpin yang tiada daya tahan dan kesabaran.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu amat tepat ditujukan kepada bekas pemimpin UMNO dan BN.

Yang sama ada di Semenanjung atau Sabah atau Sarawak yang lari dari medan perjuangan akibat kecewa, bercita-cita ingin menjadi pemimpin agung dan tidak mahu memberikan peluang kepada barisan pemimpin pelapis mengambil tempat mereka.

Bersesuaian dengan lokasi kenyataan itu dibuat oleh Ahmad Zahid di Beaufort, Sabah, kata-kata beliau itu tepat kena pada bekas Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin.

Lajim adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Beaufort, iaitu satu daripada 25 bahagian UMNO di Sabah.

Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Beaufort sebelum keluar daripada UMNO pada 2012.

Beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias atas tiket PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan menang.

Bagaimanapun, jodoh Lajim bersama-sama PKR tidak lama. Beliau keluar daripada parti itu tetapi tidak melompat ke dalam parti lain, sebaliknya menubuhkan Harapan Rakyat.

Selain Lajim, turut keluar daripada PKR ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Terrence Siambun dan ADUN Likas daripada DAP, Junz Wong.

Lajim sudah dapat melihat langkah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam menyusun strategi politik di Sabah.

Lajim melihat Shafie sebagai pemimpin yang mempunyai pengaruh di Pantai Timur Sabah, khususnya Semporna.

Beliau melihat perlunya ada seorang pemimpin parti politik pembangkang di Pantai Barat Sabah, khususnya dari Kota Kinabalu ke Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang.

Mungkin sudah bermain dalam fikiran Lajim bahawa beliau mampu meraih sokongan di Pantai Barat Sabah bagi mengimbangi pengaruh Shafie di Pantai Timur.

Dalam hal pemimpin meninggalkan perjuangan akibat tiada daya tahan dan kesabaran,  tindakan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar daripada UMNO untuk kali kedua pada 29 Februari 2016 kerana mendakwa UMNO di bawah kepemimpinan

Datuk Seri Najib Razak tidak lagi sama dengan UMNO yang sebelum itu, amat mendukacitakan orang Melayu.

Ketika itu Dr Mahathir memberi jaminan tidak akan menyertai mana-mana parti politik dan tiada hasrat untuk menubuhkan parti politik baharu.

Bagaimanapun beliau akhirnya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mungkin ada pihak yang mendakwa Dr Mahathir bukan lari meninggalkan medan perjuangan kerana tiada daya tahan dan kesabaran.

Ini kerana ketika keluar daripada UMNO beliau bukan berada di medan perjuangan parti, sebaliknya hanyalah ahli biasa UMNO yang tidak lagi memegang apa-apa jawatan penting dalam parti.

Namun demikian, harus diingat bahawa sebagai bekas Presiden UMNO, beliau memiliki banyak pengalaman politik yang seharusnya mampu menjadikan beliau sebagai seorang yang mampu bersabar.

Contoh pemimpin UMNO dan BN yang memiliki daya tahan dan kesabaran yang tinggi boleh dilihat pada perjuangan Ahmad Zahid.

Daripada kejadian beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terbabit dalam reformasi pada 1998.

Sehinggalah beliau berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan pemimpin UMNO yang lain dalam pemilihan demi pemilihan UMNO, memperlihatkan betapa beliau sememangnya memiliki daya tahan dan kesabaran yang tinggi.

Perjuangan dan pengorbanan beliau dalam mengharungi ranjau dan duri politik diberikan ganjaran oleh Allah SWT apabila beliau dimurahkan rezeki untuk memegang jawatan sekarang.

Mudah-mudahan Ahmad Zahid terus istiqamah pada perjuangan parti yang tidak memberi tempat kepada mereka yang tiada daya tahan dan kesabaran.

 

  • Penulis ialah wartawan kanan digital berpengalaman lebih 25 tahun dalam membuat liputan politik dan kepartian tanah air.

Leave a Reply