ANALISIS : Johor Syurga Ekonomi

Oleh Kaki Bedal

 

Tahniah orang Johor Bahru dan Johor !

Kerana apa ? Kerana terus dilimpahi rezeki dalam pelbagai bentuk dan pembangunan ekonomi.

Mana tidaknya, terkini pembinaan Ibrahim International Business District (IIBD) yang bakal menjadi hab pelaburan baharu yang berkembang pesat di rantau ini, disokong oleh pembangunan infrastruktur utama serta pusat perniagaan yang menempatkan usahawan Bumiputera.

Projek pembangunan yang diterajui Johor Corporation (JCorp) itu akan melaksanakan pembinaan Jejantas Bertingkat, Jejantas Pejalan Kaki dan Persada Annexe yang menjadi sebahagian pelaksanaan Pelan Bersepadu Infrastruktur dalam Pelan Induk IIBD.

Kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah tanda keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap kemakmuran di negeri-negeri.

Johor adalah antara negeri yang maju dalam Malaysia apatah lagi berjiran dengan sebuah negara kota, Singapura yang merupakan sebuah negara maju.

Limpahan sebuah negara jiran yang maju itu sememangnya tempias itu dimanfaatkan Johor.

Orang Singapura berduyun-duyun ke Johor terutama pada hujung minggu.

Inilah tarikan Johor. Atas faktor itu, negeri di selatan tanah air ini mempunyai ekonomi yang sangat stabil dan kukuh.

Kata Ahmad Zahid, kerajaan Persekutuan menyumbangkan Dana Mudahcara berjumlah RM250 juta menerusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bagi pembinaan jejantas bertingkat dan jejantas pejalan kaki itu.

“Dana ini mungkin hanya satu permulaan kepada kerajaan negeri.

“InsyaAllah, apabila kerajaan negeri dapat memberikan kesinambungan dokongan dengan memperkasakan kepercayaan yang lebih besar maka lebih banyak lagi sumbangan dan pinjaman akan diberikan,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Sebab itu, penulis juga melihat ada elemen-elemen aspirasi memartabatkan Bandaraya Johor Bahru sebagai pusat pelaburan, komersial, korporat dan keusahawanan negeri.

Kalau dilihat negeri Johor kini sedang menjalani transformasi progresif dan pertumbuhan ekonomi yang amat memberangsangkan.

Sebagai salah sebuah negeri yang mengalami pertumbuhan paling pesat di negara ini, Johor memberikan sumbangan penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Sekaligus mencatat pertumbuhan yang boleh dibanggakan meskipun ekonomi serantau dan global menghadapi pelbagai cabaran sejak beberapa tahun lepas.

Negeri Johor sudah menjadi destinasi pilihan bagi pelabur tempatan mahupun antarabangsa.

Ini dapat dibuktikan dengan aliran masuk pelaburan ke dalam industri utama seperti sektor pengilangan.

Sejak tahun 2013, Johor menduduki tangga teratas, apabila menerima pelaburan paling tinggi dalam sektor pengilangan.

Perangkaan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan bahawa Johor berada di tangga teratas di Malaysia pada tahun lepas, dengan pelaburan mencecah RM31.1 bilion dalam sektor pengilangan, iaitu kira-kira 41.6% daripada pelaburan negara secara keseluruhannya.

Selain itu, MIDA juga melaporkan bahawa pada tahun lepas, 81.4% projek pengilangan di Johor bernilai RM78.8 bilion telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama rapat antara agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor.

Sumber dalam negara menyumbang 63% atau RM33.9 bilion daripada pelaburan ini, manakala selebihnya adalah daripada dana asing.

Sepanjang lima tahun yang lepas, pelaburan ini telah membantu mewujudkan hampir 88,000 pekerjaan di negeri ini.

Angka ini jelas menunjukkan keserasian dan kesepakatan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor, dalam merealisasikan aspirasi pembangunan di Negeri Johor sekaligus sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi negara.

Janaan pertumbuhan ekonomi Johor semakin rancak dengan pelaksanaan projek pemangkin strategik di beberapa daerah di negeri Johor.

Antara lain termasuk projek hab minyak dan gas di Pengerang; projek infrastruktur utama penting Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR), Sistem Transit Pantas Johor Bahru-Singapura (RTS Link) dan landasan berkembar Gemas-Johor Bahru.

Kedudukannya yang strategik di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru menjadikan IIBD sebagai pakej lengkap yang menjadi tumpuan utama untuk memacu pertumbuhan ekonomi demi menarik pelaburan kewangan ke negeri ini.

Semua kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa perancangan rapi dan pelaksanaan teliti yang menitikberatkan kepentingan rakyat. Kerajaan Persekutuan berpendirian tegas dalam menetapkan pertimbangan inklusiviti sebagai asas paling utama dengan mendahulukan keperluan rakyat dalam pembangunan.

Maka, IIBD perlu turut menerapkan pendirian sebagaimana Kerajaan Persekutuan bagi memastikan rakyat turut menerima limpahan manfaat daripada pembangunannya.

Moga menerusi IIBD, sistem infrastruktur yang efektif menyediakan tunjang untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan inovasi, pembangunan perniagaan, perdagangan, pelaburan, dan paling penting sekali, skala yang besar.

Kedua-dua pihak, baik Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri, perlu memainkan peranan penting dalam aspek pembangunan dengan mengambil kira penyediaan infrastruktur yang baik dan terhubung dan penyelarasan kemudahan kewangan.

Oleh yang demikian, aspek perancangan dan pembangunan bandar perlu dilaksanakan dengan rapi, disokong dengan ciri yang saling terhubung serta daya pergerakan dengan aliran yang baik, merupakan intipati utama bagi memastikan IIBD menepati keperluan pada masa hadapan.

Ia perlu ideal untuk semua dan memacu ke arah pencapaian wawasan Pengantarabangsaan Bandaraya Johor Bahru 2020

Memandangkan IIBD bakal menjadi hab pelaburan baru yang pesat berkembang di rantau ini, ketiga-tiga komponen kemudahan rakyat iaitu Jejantas Bertingkat, PERSADA Link Bridge dan PERSADA Annexe mempunyai peranannya.

Itu penting untuk memastikan kemudahan dengan rangkaian yang terhubung bertujuan meningkatkan kesinambungan seterusnya akan mengukuhkan lagi pusat perniagaan dan hubungan masyarakat.

Moga semangat keusahawanan terus menjelma di IIBD.

 

Comments

comments