SUPP Hasrat Letak Calon Di Pujut

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyatakan hasrat untuk meletakkan calonnya bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut.

Presidennya, Datuk Dr Sim Kui Hian, berkata DUN Pujut adalah kerusi tradisi SUPP dan parti itu berhak bertanding di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) tahun lalu, Datuk Hii King Chiong bertanding sebagai calon langsung BN dan bukan sebagai calon Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Kerusi itu (Pujut) tidak pernah dimiliki oleh UPP kerana King Chiong pada PRN-11 bertanding sebagai calon langsung BN.

“Jadi, sesiapa yang ingin bertanding di Pujut pada PRK nanti, mesti datang dari parti komponen BN,” katanya kepada media di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Dr Kui Hian berkata, SUPP sedang membuat persediaan untuk menghadapi PRK itu dan sudah mengenal pasti beberapa calon yang berpotensi.

Bagaimanapun katanya, jika ada ahli UPP yang ingin bertanding, beliau perlu keluar dari parti itu dan menyertai SUPP.

“Ini kerana UPP bukan sebahagian daripada komponen BN,” katanya. — BHONLINE

Leave a Reply