UTC Produk Bertaraf Dunia – TPM

Pusat Transformasi Bandar (UTC), yang diwujudkan untuk memberi kemudahan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat di bawah satu bumbung, merupakan produk bertaraf dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata UTC yang merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan telah mencipta sejarah sebagai produk tempatan luar biasa yang pernah dihasilkan.

Katanya sebanyak 48.5 juta orang mendapatkan perkhidmatan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di 18 buah UTC di seluruh negara sejak inisiatif itu dimulakan pada 2012.

“Penubuhan UTC adalah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat ditawarkan dengan kaedah paling inovatif dan kreatif.

“Kejayaan kerajaan menghimpunkan pelbagai jabatan, agensi dan sektor swasta di bawah satu bumbung untuk mewujudkan UTC yang belum didapati di mana- mana negara kecuali Malaysia,” katanya ketika berucap di Majlis Pengurusan UTC di sini malam Ini.

Bagi UTC untuk menempa nama di persada antarabangsa, Ahmad Zahid berkata tiga elemen telah memainkan peranan penting dalam menjadikan UTC sebagai penyedia perkhidmatan luar biasa.

“Yang pertama, kita ada kekangan dari segi penubuhan, kekurangan kakitangan dan bagaimana penempatan dilakukan serta belanjawan diwujudkan.

“Tidak mudah untuk agensi dan jabatan kerajaan turut melakukan keterlibatan dalam mewujudkan UTC sehingga sekarang. Pewujudan UTC harus dipuji sebagai satu pusat perkhidmatan kreatif yang menempa kejayaan di mata dunia, ” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengubahsuaian dan transformasi terhadap bangunan projek ‘gajah putih’ atau yang tidak dan kurang digunakan sebagai UTC, adalah kejayaan kepada kerajaan.

“Kita memikirkan dari segi nilai tambah terhadap bangunan sedia ada ini untuk dijadikan pusat perkhidmatan kepada rakyat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.

“Selain itu, pengubahsuaian dan transformasi terhadap bangunan berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan melalui pengurusan yang hebat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan penubuhan UTC sangat dekat dengan hatinya kerana turut bersama-sama perdana menteri merangka projek itu.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga melancarkan Garis Panduan Penubuhan dan Pengurusan UTC yang bertujuan untuk menerangkan kaedah penubuhan dan aspek pengurusan UTC, merangkumi penetapan waktu operasi, kadar sewaan ruang pejabat, penyelenggaraan, bayaran utiliti serta pengurusan aset UTC.

Panduan itu juga adalah mekanisme pengurusan yang memperincikan peranan dan tanggungjawab pengurus UTC yang terlibat dalam penubuhan dan pelaksanaan UTC.

Ini membolehkan tindakan diambil secara lebih kemas, selaras dan teratur. — BERNAMA

Comments

comments