DUN SARAWAK : Sarawak Sasar Lima Juta Ketibaan Pelancong Tahun Ini, Resit Pelancongan RM8.98 Juta

Sarawak menyasarkan menarik ketibaan lima juta pelancong tahun ini dengan anggaran RM8.98 juta bagi resit pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sehingga Januari hingga April tahun ini, Sarawak merekodkan 2.67 juta pelancong iaitu peningkatan 17.26 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bercakap pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-18 di sini hari ini, beliau berkata tahun lepas Sarawak menerima ketibaan 4.66 juta pelancong dengan anggaran resit pelancongan RM8.37 juta.

Bagaimanapun beliau berkata, Sarawak perlu mewujudkan jenama identiti kerana negeri itu tidak dikenali di luar negara berbanding Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Langkawi dan Melaka.

Katanya ini berdasarkan maklum balas daripada warga asing semasa kerajaan negeri mengadakan pelbagai pameran perdagangan dan pelancongan di luar negara.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk melibatkan pakar jenama untuk meneliti perkara ini,” katanya dan menambah ia juga telah meletakkan pelancongan sebagai satu daripada tiga Bidang Keberhasilan Utama (KRA) di bawah Program Transformasi Sosioekonomi (SETP). – BERNAMA

Comments

comments