Juventus Juara Piala Itali, Misi ‘Treble’ Semakin Hampir

Dani Alves dan Leonardo Bonucci masing-masing menjaringkan satu gol untuk memastikan Juventus menjulang kejuaraan kali ketiga berturut-turut Piala Itali selepas melengkapkan kemenangan 2-0 ke atas Lazio di Stadio Olimpico, awal pagi tadi.

Juventus yang menang saingan liga dan piala sejak dua musim lalu kini boleh mencipta sejarah dengan memastikan kejuaraan Serie A buat kali keenam berturut-turut jika berjaya memastikan kemenangan ke atas Crotone, Ahad ini.

Selain itu, skuad bimbingan Massimiliano Allegri itu turut dijadual bertemu Real Madrid di final Liga Juara-Juara di Cardiff, bulan depan – situasi yang jelas menggusarkan gergasi Sepanyol itu.

Beberapa hari selepas dipalit kekalahan mengejut susulan kekalahan 3-1 kepada kelab tetangga Lazio, AS ROma, Juventus kini boleh mendabik dada namun bagi Allegri, dia mengharapkan prestasi yang lebih baik bagi pertembungan dengan Crotone.

“Kemenangan ini beri suntikan semangat buat kami untuk menghadapi perlawanan Ahad ini. Kami begitu mahu melengkapkan aksi saingan itu dengan kejuaraan,” kata Allegri.

“Pemain mempamerkan aksi secara teknikal dan bertahan dengan baik, lebih cemerlang berbanding perlawanan dengan AS Roma minggu lalu.”

Bagi Bonucci, kemenangan ke atas Lazio penting buat Juventus terutama untuk memastikan sasaran kelab pada musim ini berjaya dicapai.

“Ahad ini menjadi satu lagi aksi final buat kami. Kami perlu memastikan objektif ini dan kemudiannya boleh beralih kepada perlawanan di Cardiff nanti,” kata Bonucci. – BH ONLINE

Comments

comments