Kerajaan Mempunyai Formula Menangani Kemiskinan Bandar – TPM

Oleh Azreyna Razali

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan Mesyuarat High Level Committee (HLC) Menangani Kemiskinan Bandar Bil. 1/2017 yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Putrajaya.

Mesyuarat ini dihadiri oleh YB Menteri-menteri, YB Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian serta pegawai-pegawai tertinggi Kementerian/Jabatan/Agensi yang berkaitan.

Dalam mesyuarat HLC ini memfokuskan kepada perbincangan untuk merangka strategi-strategi penyelesaian yang khusus bagi menangani isu-isu kemiskinan bandar (urban poverty) secara holistik.

Ia juga secara tidak langsung merupakan manifestasi terhadap usaha-usaha kerajaan yang komited dan bersepakat dalam menggalas tanggungjawab untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang tinggi, khususnya di bandar.

Kata Timbalan Perdana Menteri, kesan langsung daripada kenaikan kos sara hidup telah menyebabkan timbulnya isu yang agak kritikal pada masa ini iaitu kemiskinan bandar.

“Kos sara hidup yang tinggi di bandar menyebabkan golongan miskin bandar menjadi lebih tertekan berbanding dengan kelompok miskin luar bandar.

“Bagi menangani isu kemiskinan bandar secara komprehensif dan berkesan, elemen-elemen yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup di bandar seperti kenaikan harga barangan khususnya barang makanan, perumahan dan pengangkutan perlu dikaji terlebih dahulu,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, ini juga selaras dengan corak perbelanjaan isi rumah yang tipikal iaitu perbelanjaan untuk makanan menyumbang kepada peratusan yang tinggi diikuti dengan pengangkutan dan perumahan.

“Gabungan ketiga-tiga elemen ini sahaja akan menggunakan dua pertiga daripada pendapatan isi rumah,” katanya.

Sebanyak 8 Kertas Pertimbangan dan 4 Kertas Makluman telah dibincangkan dalam mesyuarat hari ini di mana beberapa keputusan dan cadangan penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Ia akan melibatkan pelaksanaan secara bersepadu oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan telah dipersetujui seperti berikut:

  • Melaksanakan beberapa strategi termasuk meningkatkan pengeluaran dalam negara secara optimum dan pengedaran bekalan yang cekap dan berkesan bagi menangani kenaikan harga barang.
  • Satu Jawatankuasa Bersama antara kementerian akan ditubuhkan bagi mengkaji kos pengeluaran dan kos di sepanjang rantaian pengedaran bagi mengelakkan manipulasi harga oleh pihak orang tengah;
  • Mengkaji cadangan pelaksanaan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar yang melibatkan pelbagai Kementerian menggunakan Strategi Lautan Biru (NBOS). Kerjasama ini akan turut melibatkan pihak syarikat hypermarket dalam menyediakan bekalan makanan sejuk beku (frozen food) kepada golongan miskin tegar di bandar;
  • Sekiranya program ini berjaya dilaksanakan, pendekatan ini boleh dikembangkan ke IPTA/IPTS melalui program makanan bermasak yang dijual pada harga berpatutan kepada pelajar-pelajar di IPTA/IPTS khususnya di bandar-bandar besar. Pelaksanaan program ini akan menggunakan bekas pelajar sebagai operator /petugas;
  • Melaksanakan beberapa program termasuk Program Pembangunan Usahawan, meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam pada kadar yang munasabah, bantuan
  • pengurusan kewangan, latihan kemahiran dan program mentoring;
  • Mewujudkan pusat sehenti di kawasan komuniti miskin yang akan menjadi pusat rujukan kepada pelbagai agensi bagi membantu golongan berkenaan;
  • Melaksanakan kajian pengumpulan maklumat mengenai keperluan bekalan rumah melalui data-data bilangan pemilikan dan penyewaan rumah dilaksanakan bagi memudahkan pihak Kerajaan mengenal pasti keperluan rumah dan trend harga rumah yang sesuai berdasarkan lokasi tertentu; dan
  • Mempertimbangkan cadangan pemberian insentif kepada pemaju yang membina rumah mampu milik menggunakan teknologi terkini seperti IBS bagi mengurangkan kos pembinaan rumah.

Comments

comments