Monaco Juara Ligue 1

AS Monaco memastikan gelaran Ligue 1 buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun yang turut mengakhiri penguasaan Paris St Germain (PSG) sejak empat tahun lalu selepas menumbangkan St Etienne 2-0, awal pagi tadi.

Berbaki satu perlawanan liga, Monaco hanya memerlukan seri untuk memastikan kejuaraan namun gol daripada Kylian Mbappe dan Valere Germain meneruskan rentak cemerlang tuan rumah di Stade Louis II.

Dua gol berkenaan menyaksikan Monaco sudah mengumpul 104 gol pada musim ini selain mencipta jurang empat mata dengan PSG yang menghuni tangga kedua liga.

Skuad Leonardo Jardim mula membina kejayaan musim ini dengan gandingan hebat di barisan depan yang diketuai Mbappe dan Radamel Falcao.

Selain itu, prestasi hebat pemain tengah, Fabinho, pertahanan Djibril Sidibe dan Benjamin Mendy yang turut mempamer aksi baik di depan gol berjaya menambah sengat kelab berkenaan di jentera serangan.

Kejayaan itu meletakkan Monaco di kedudukan ketiga dalam senarai juara Ligue 1 paling banyak bersama Nantes dengan lapan kejuaraan, di belakang Etienne, 10 kali dan Olympique Marseille (9). – BH ONLINE

Comments

comments