ANALISIS : TPM Mahu Penjenamaan Semula Organisasi Belia – Sediakan Program Relevan

Oleh Hassan Omar

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu organisasi belia dijenamakan semula dari aspek semangat, pendekatan dan pengisian program untuk memastikan ia relevan dengan cita rasa anak muda.

Ahmad Zahid tidak mahu lagi pertubuhan atau persatuan berkaitan belia sekadar menganjurkan program membawa belia berkunjung ke pusat peranginan yang sekadar membolehkan anggota pertubuhan belia seolah-olah berhibur menikmati percutian.

Beliau mahu Gerakan Belia 4B menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha menarik generasi muda untuk bersama-sama menjayakan agenda pembangunan golongan belia, khususnya Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Dalam hal ini, langkah Kementerian Belia dan Sukan melantik 13 pakar dan tokoh belia sebagai Duta Belia TN50 yang berperanan mendampingi generasi muda bagi mendengar idea serta aspirasi mereka amat tepat untuk meningkatkan pembabitan belia dalam pembangunan negara.

Mereka adalah pakar dalam bidang masing-masing dan dipilih berdasarkan pencapaian mengharumkan nama negara dan bersemangat untuk menabur bakti serta mempunyai pengaruh positif serta jalinan baik dengan belia.

Seharusnya pelantikan mereka mampu membantu merancakkan pelbagai program dan inisiatif yang dirancang di bawah payung TN50, selain menganjurkan pelbagai program TN50 dalam bidang mereka sendiri supaya ilmu serta kepakaran mereka dimanfaatkan untuk memajukan belia.

Diharapkan pelantikan itu akan membakar semangat lebih ramai belia untuk turut memberikan sumbangan dalam apa juga bentuk dan cara demi masa depan negara.

Sebagai golongan yang bertanggungjawab memajukan negara dan mempertahankan kemerdekaan tanah air, amat penting untuk pertubuhan belia mendengar suara orang muda kerana merekalah yang paling lantang menegur dan meluahkan rasa terhadap pentadbiran negara melalui media sosial.

Untuk tujuan itu, pemimpin pertubuhan belia harus bijak mendekati generasi muda melalui saluran media sosial, selain perjumpaan terus melalui sesi dialog dan debat atau bersemuka dengan kumpulan kecil belia.

Dengan cara sedemikian, lebih ramai akan menggunakan saluran yang betul untuk menyalurkan aduan, rungutan atau teguran bagi membantu membetulkan sesuatu yang tidak betul atau sempurna.

Satu daripada program yang boleh dianjurkan oleh pertubuhan beliau bagi menyahut cabaran Ahmad Zahid ialah dengan menjenamakan program yang lebih dekat dengan hati belia yang tidak hanya tertumpu kepada forum kerana bukan semua belia berani tampil untuk menyuarakan pandangan mereka di khalayak ramai.

Untuk tujuan itu, pertubuhan belia dicadangkan menganjurkan pertandingan menulis esei atau menghasilkan video pendek kerana belia sekarang kreatif.

Zaman yang serba canggih membuatkan mereka mahu mencuba menghasilkan sesuatu yang menarik kerana mereka memiliki banyak idea untuk disampaikan.

Pertubuhan belia harus mampu membentuk masa depan Malaysia yang lebih baik yang mampu menjadi negara progresif dan berkeyakinan serta tidak bimbang dengan mana-mana pengaruh.

Malaysia pada 2050 perlu menjadi juara yang mampu memainkan peranan dan berpengaruh di rantau ini dan di dunia, selain berpengaruh dalam ketamadunan Islam.

 

  • Penulis ialah wartawan kanan digital berpengalaman lebih 25 tahun dalam industri media.

 

Leave a Reply