Cadangan Polis Wanita Islam Belanda Bertudung Dibantah

Ahli perundangan Belanda membantah cadangan dikemukakan pegawai atasan polis membenarkan anggota polis wanita Islam di ibu kota negara itu memakai tudung.

Sekurang-kurangnya enam parti politik utama membantah rancangan Pesuruhjaya Pieter-Jaap Aalbersberg memperkenalkan tudung kepada pakaian seragam polis wanita sebagai sebahagian usaha merekrut bagi mempelbagaikan penguat kuasaan undang-undang di Amsterdam.

Aalbersberg berkata, beliau mahu meningkatkan kepelbagaian budaya dalam kalangan polis Amsterdam, ingin sekurang-kurangnya separuh rekrut baharu di pusat tumpuan pelancong datang daripada penduduk bukan berketurunan Belanda.

Cadangannya turut memasukkan membenarkan polis memakai simbol keagamaan seperti salib, kippah Yahudi dan tudung.

“Penduduk Amsterdam berubah dari segi pengurusan. Ia perlu dibahaskan,” katanya kepada akhbar Algemeen Dagblad dalam satu kenyataan.

Aalbersberg berkata, 52 peratus penduduk Amsterdam bukan berketurunan Belanda, tetapi ia tidak mencerminkan komposisi dalam pasukan polis negara itu, yang cuma 18 peratus anggota memiliki kepelbagaian budaya.

Bagaimanapun, parti politik utama termasuk Liberal VVD yang menang paling banyak kerusi pada pilihan raya Mac lalu, parti D66 dan Parti Sosialis, membantah cadangan berkenaan, lapor tabloid De Telegraaf. — AFP

Leave a Reply