Jangan Pilih Personaliti Sahaja, Pilih Parti Yang Miliki Rekod Baik

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Sakaran mengingatkan pengundi agar tidak memilih personaliti semata-mata tetapi turut mengambil kira parti yang diwakili calon itu mempunyai rekod terbaik mentadbir negara khususnya Sabah.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata jika mengundi berdasarkan personaliti dan membelakangkan parti belum tentu wakil rakyat itu mampu menggalas tugas dengan baik sekiranya kerajaan yang dibentuk datang daripada parti lain.

“Kita sudah merasa susah sewaktu berada di pimpinan pihak pembangkang dan apabila dengan UMNO pelbagai kemudahan diberikan termasuk bekalan elektrik, air dan penghubung jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan Ramadan kepada 1,298 rumah melibatkan 27 kampung di DUN Sulabayan dalam Jelajah Kasih Ramadan sempena Program UMNO Bantu Rakyat di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nasir berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah mencipta pelbagai rekod yang sangat baik dari segi pembangunan dan kemajuan di negeri ini termasuk Semporna.

Mengenai kerusi di DUN Sulabayan, Nasir yakin kemenangan akan menjadi milik BN pada Pilihan Raya Umum ke-14. — BERNAMA

Comments

comments