PAS Bergabung Dengan UMNO? BN Tetap Menjadi Pilihan

Oleh Hassan Omar

 

 

Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjangka Pakatan Harapan mempunyai harapan untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika PAS bergabung dengan UMNO.

Ini kerana ia bakal membuka ruang untuk pertandingan satu lawan satu dan bukannya tiga penjuru jika PAS bersendirian menghadapi pilihan raya berkenaan.

Jika satu lawan satu, Muhyiddin yakin kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Harapan.

Bagi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula, tiada salahnya jika UMNO bekerjasama dengan PAS sekiranya kerjasama itu mampu membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, pucuk pimpinan UMNO dan PAS harus memberi penjelasan kepada ahli masing-masing mengenai peri pentingnya kerjasama berkenaan dan manfaat yang bakal diperoleh kedua-dua pihak.

Muhyiddin membuat andaian sedemikian kerana selama ini Pakatan Harapan sudah diberikan keyakinan oleh Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan undi untuk pembangkang terbahagi kepada Pakatan Harapan dan PAS dan akhirnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menang.

Oleh sebab itulah BERSATU sedaya upaya mahu PAS menyertai Pakatan Harapan atau setidak-tidaknya berkerjasama dengan BERSATU.

Namun demikian, Pakatan Harapan tidak seharusnya lupa bahawa jika UMNO dan PAS bekerjasama, undi untuk UMNO/BN dan PAS sudah tentulah akan berganda berikutan gabungan undi penyokong UMNO/BN dan PAS yang khusus untuk calon BN atau PAS.

Yang pastinya ialah menjelang PRU-14, UMNO, BN, Pakatan Harapan dan PAS pasti akan berusaha sedaya upaya untuk memenangi hati pengundi.

Jika majoriti pengundi Cina masih enggan memberikan undi kepada BN, ia tidak akan menjadi penghalang yang amat besar
untuk BN membentuk Kerajaan Persekutuan semula.

Pengundi Melayu dan etnik Bumiputera di Sabah dan Sarawak diyakini akan terus memberikan sokongan kepada UMNO dan BN serta parti komponen BN di kedua-dua negeri berkenaan.

Oleh sebab kedudukan PAS masih belum dipastikan lagi sama ada ingin bergabung atau bekerjasama dengan UMNO, bolehlah diandaikan PAS bakal menghadapi laluan sukar untuk menghadapi PRU-14.

Setiap kali PRU menjelma, pembangkang lazimnya melaungkan keyakinan menumbangkan BN tetapi laungan itu tidak juga dengan mudah menjadi kenyataan.

PRU 1999 adalah contoh bagaimana pembangkang yang seharusnya boleh menumbangkan BN tetap tidak mampu menewaskan BN walaupun pada ketika itu 65 peratus undi orang Melayu beralih kepada PAS.

Dan PKR akibat kemarahan orang Melayu pada Dr Mahathir kerana memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

PRU 2013 yang dilaung-laungkan Pakatan Rakyat sebagai hujung nyawa BN tetap tidak menjadi kenyataan walaupun pengundi Cina meneruskan trend PRU 2008 yang tidak mahu memberikan undi kepada BN.

Ia dengan jelas membuktikan majoriti pengundi, terutama orang Melayu tetap sayang akan BN meskipun ada antara mereka marah akan sesetengah pemimpin UMNO dan BN.

Comments

comments