Remaja Gila Kumpul Beg Trendy

Selalunya, kaum hawa yang sinonim dengan hobi mengumpul beg, namun ada juga golongan lelaki menggemari aksesori berkenaan dan salah seorangnya jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Hisham Harun, 26.

Bukan setakat mengumpul, malah Hisham sanggup mengumpul wang dan mengembara ke Jepun bukan untuk melancong tetapi mendapatkan koleksi beg diinginkan.

Bagi Hisham, setiap individu mempunyai minat tersendiri, begitu juga dirinya yang menganggap beg sebahagian aksesori pelengkap gaya.

“Saya mula berjinak-jinak dengan hobi mengumpul beg sejak empat tahun lalu selepas membeli beg berjenama Gregory.

“Saya tertarik dengan beg itu kerana ia tahan lasak dan sejak itu mula menambah koleksi walaupun ada rakan yang menganggap hobi itu sia-sia dan kerja gila.

“Bagi saya, ia satu kepuasan dan tiada salahnya mengumpul beg kerana nilainya tidak susut sebaliknya lebih mahal jika dijaga dengan rapi,” katanya yang kini menjadi penjual beg sepenuh masa di dalam talian.

Menurut Hisham, setakat ini, dia mempunyai kira-kira 150 koleksi beg namun kebanyakannya daripada jenama Gregory.

Katanya, sebahagian koleksi berkenaan dibeli ketika mengembara ke Jepun manakala selebihnya daripada individu.

“Beg berkenaan agak sukar didapati di negara ini dan jika ada sekalipun, ia agak terhad dan jarang sekali ditemui.

“Namun disebabkan minat, saya sanggup mengumpul wang untuk pergi ke Jepun dan membelinya di sana.

“Selalunya, saya akan ke sana bersama rakan yang turut berkongsi minat yang sama,” katanya yang turut mempunyai koleksi jam tangan dan kasut pelbagai jenama.

Hisham berkata, jika diberi peluang, dia bercadang mengembangkan perniagaannya dengan membuka kedai menjual beg kelak.

Menurut Hisham, dengan adanya kedai berkenaan, dia dapat berkongsi minat selain memenuhi permintaan penggemar beg.

“Ikutkan, saya memang merancang untuk membuka kedai sendiri satu hari nanti dan berharap impian itu menjadi kenyataan.

“Bukan apa, saya mahu membuktikan hobi ini bukan setakat memberi kepuasan untuk diri, malah mampu menjana pendapatan jika kita benar-benar serius,” katanya. — HARIAN METRO

Comments

comments