Rencana: Bekas Anggota Bomba Selamatkan Seni Bina Rumah Melaka

Oleh Hassan Omar

 

Jika semasa bertugas sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Zainuddin Joned, 61, berusaha menyelamatkan nyawa dan harta benda tetapi kini dia berusaha menyelamatkan warisan seni bina Rumah Melaka.

Berbekalkan bakat dan kemahiran bertukang yang diwarisi daripada datuknya, Allahyarham Jamal Kelok, Zainuddin atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk Kampung Londang, Masjid Tanah, Alor Gajah dengan panggilan Bujang Bomba, tidak pernah jemu untuk menyelamatkan seni berkenaan daripada pupus.

Zainuddin berkata, keunikan seni bina Rumah Melaka adalah bayangan reka bentuk Istana Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

“Keindahan seni bina Rumah Melaka bukan hanya menyerlahkan daya kreativiti tukang kayu, malah mencerminkan adat resam, kepercayaan dan penghayatan terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui membina wakaf berkonsepkan Rumah Melaka milik penduduk kampung itu, Maimunah Ganti, 51, baru-baru ini.

Maimunah meminta Zainuddin membina wakaf berkeluasan 3×2 meter dengan mengambil contoh papan pemanis dan papan dinding anjung Rumah Melaka yang dihuninya sekarang.
Papan pemanis dipasang di sekeliling bumbung rumah dengan kebanyakannya mempunyai corak daun atau bunga tertentu.
Untuk tujuan itu, Zainuddin menggunakan kemahirannya menebuk lubang dengan menggunakan gergaji elektrik bermata halus bagi memastikan papan pemanis yang dibuatnya sama dengan papan pemanis pada bumbung rumah Maimunah.
Selain itu, dia juga harus menyiapkan papan dinding anjung wakaf berkenaan yang sama dengan yang di anjung rumah itu.
“Kerja ini agak rumit tetapi saya tidak menganggapnya sebagai beban, sebaliknya saya gembira dapat membuatnya bagi mengekalkan seni dan warisan seni bina Rumah Melaka,” katanya.
Zainuddin juga membina wakaf berkenaan dengan menggunakan pasak pada rasuk lantai yang dimasukkan ke dalam tiang tanpa menggunakan skru atau paku sebagai warisan daripada pasak yang ada pada rumah Maimunah.
Katanya, walaupun agak sukar untuk membuat lubang pasak, wakaf atau rumah yang dibina dengan menggunakan teknik berkenaan lebih kukuh berbanding teknik menggunakan paku atau skru.
“Untuk membina pasak, saya harus memastikan lubang yang ditebuk pada tiang tidak terlalu besar bagi mengelakkan ia longgar.
“Seseorang tukang rumah akan berasa malu kalau pasak yang dibuatnya longgar yang menyebabkan tiang rumah bergoyang,” katanya.
Bekas Pegawai Bomba Kanan II di Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah itu berkata, dia berharap ada pihak yang mahir bertukang berminat mendalami kaedah pembinaan Rumah Melaka berasaskan seni bina Melayu Melaka bagi mengelakkan ia pupus ditelan zaman.
Katanya, seni dan warisan zaman-berzaman itu tidak harus dibiarkan luput dimamah waktu, sebaliknya harus dipertahankan dalam pembinaan rumah atau wakaf.

Leave a Reply