Stadium Nasional Bukit Jalil Milik Rakyat – KJ

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berhasrat mahu menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai stadium rakyat sejurus selepas penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Beliau berkata ia bertujuan memberi peluang kepada pasukan komuniti serta pemain amatur merasai sendiri aura bermain di stadium yang menjadi venue rasmi pasukan bola sepak kebangsaan, selain menyifatkan stadium itu adalah milik rakyat.

“Stadium Nasional Bukit Jalil ini dimiliki oleh rakyat dan tujuan kita membuka stadium ini kepada pasukan komuniti serta pemain amatur pada hari ini kerana kita mahu merakyatkan stadium.

“Selepas ini, cara terbaik adalah dengan membuka stadium ini dari semasa ke semasa supaya pemain amatur yang tidak mewakili mana-mana kelab profesional dapat merasai aura stadium ini,” katanya kepada pemberita sebelum sepak mula antara pasukan Pemanis FC menentang Shah Alam Antlers, hari ini.

Khairy seterusnya berkata penganjuran Hari Komuniti Bola Sepak yang julung kali diadakan itu merupakan satu langkah yang tepat bagi melihat tahap kesediaan stadium berkenaan menjelang KL2017.

“Pada masa yang sama, kita dapat menilai tahap kesediaan stadium dan mantapkan segala kemudahan di sini sebelum ia digunakan pada Sukan SEA nanti.

“Melalui penganjuran Hari Komuniti ini, kita dapat melihat daripada segi kemudahan bilik persalinan, lampu, sistem bunyi, paparan skrin LED dan juga padang. Kita akan mengambil maklum apa yang berlaku malam ini supaya bila berlaku perlawanan yang lebih besar, stadium ini sudah siap sedia,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai permukaan padang stadium, Khairy gembira dan berpuas hati terhadap kualiti rumput meskipun selepas ia digunakan.

Beliau berkata permukaan padang yang telah diperbaharui itu dilihat lebih kukuh walaupun selepas berlangsung beberapa perlawanan melibatkan beberapa pasukan Akademi Tunas dan pasukan komuniti.

“Selepas hampir tujuh perlawanan diadakan sejak 3 petang tadi, saya tidak melihat mana-mana kawasan yang rumputnya tercabut,” katanya. — BERNAMA

Comments

comments