UMNO Perlu Terbit Filem Papar Perjuangan Bela Orang Melayu, Merdeka Negara

Dr Hizral Tazzif Hisham

 

Filem sebagai medium untuk menyampaikan mesej terbukti berkesan apabila Amerika Syarikat menggunakan filem sebagai wadah untuk memaparkan negara berkenaan sebagai negara yang mengamalkan demokrasi dan menentang segala bentuk diskriminasi.

Sejak penciptaan kamera filem oleh adik beradik Lumiere iaitu Louis dan Auguste Lumiere yang berasal dari Perancis pada tahun 1893, kekuatan medium filem adalah gabungan penceritaan yang mantap dan disokong oleh audio visual menyebabkan mesej yang disampaikan kekal melekat dalam ingatan penonton.

Untuk itu filem adalah wadah yang paling ampuh untuk mengetengahkan kisah perjuangan Umno bagi membela orang Melayu dan memerdekakan negara daripada dijajah British.

Umno yang diasaskan oleh almarhum Datuk Onn Jaafar di Johor pada 1946 mempunyai sejarah perjuangan yang panjang membela orang Melayu dan memerdekakan negara ini daripada penjajahan British.

Sudah sewajarnya perjuangan Umno itu dipaparkan kepada generasi muda yang menikmati kemerdekaan hasil jerih perih pejuang kemerdekaan terdahulu.

Ramai pengarah tersohor di negara ini boleh diberi kepercayaan untuk mengarahkan naskah berkenaan.

Aspek terpenting penerbitan filem ini bukan untuk mengaut keuntungan sebaliknya sebagai satu dokumentasi sejarah (biarpun sudah ada penerbitan dalam bentuk dokumentari) namun penceritaan dalam format filem lebih berkesan kerana meninggalkan impak mendalam kepada penonton.

Langkah menerbitkan filem ini bukan perkara baru. Amerika Syarikat sudah menghasilkan pelbagai filem yang menunjukkan kehebatan askar mereka biarpun mereka kalah pada perang Vietnam.

Mereka menghasilkan pelbagai filem aksi perang seperti Rambo I, II, III dan IV untuk menunjukkan kegagahan askar mereka walaupun hakikat sebenarnya askar mereka tumpas kepada askar Vietnam yang tidak lengkap bersenjata.

Untuk menerbitkan filem ini Umno boleh menggunakan dana dalaman atau mendapatkan bantuan daripada AIFFA (Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN) 2017 Biz World yang menyediakan dana sebanyak US$30 juta untuk membantu penerbit filem Asean.

Bagaimana garapan filem berkenaan terpulang kepada sudut pandang pengarah dan penulis skrip, namun cerita yang menarika tidak semestinya bermula dengan tokoh berjasa semata-mata, sebaliknya cerita itu boleh mengangkat bagaimana semangat perjuangan rakyat marhaein disemarakkan daripada kecil hingga merebak ke seluruh Tanah Melayu.

Dan bagaimana sumbangan kaum wanita yang sanggup mendermakan barang kemas mereka untuk membantu perjuangan sepatutnya menjadi paparan utama agar semangat perjuangan dapat dinyalakan kembali.

Begitu juga pelbagai aspek menarik boleh diceritakan berdasarkan garapan yang segar.

Cerita almarhum Tan Sri P. Ramlee adalah malar segar kerana cerita yang beliau paparkan adalah cerita mengenai rakyat dan masalah yang dihadapi serta perjuangan yang dilakukan untuk hidup selepas era penaklukan Jepun.

Umno juga boleh menerbitkan drama bersiri atau telemovie untuk tayangan di televisyen dan youtube.

Seperti kata McLuhan – the medium is the message, penerbit perlu melihat medium tayangan untuk disesuaikan dengan kandungan. Ini bermakna untuk tayangan pada telefon pintar durasi itu boleh dipendekkan kepada antara lima hingga tujuh minit dan bersambung setiap episod hingga akhir.

Medium kali ini ialah telefon pintar yang mana pengguna telefon pintar yang dimiliki dapat mencapai kandungan dalam youtube berkenaan dan boleh ditonton pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Untuk tujuan promosi penggunaan media sosial seperti Facebook boleh dimanfaatkan seperti mana fast and furious lakukan bagi siri kelapan filem berkenaan. Ini termasuk the making of dan trailer serta promo filem berkenaan.

Filem ini boleh dijadikan sebahagian daripada alat bantuan mengajar bagi guru-guru sejarah untuk ditayangkan kepada murid-murid mereka.

Dan selepas usai tayangan boleh meminta pelajar menganalisis kejayaan dan kekuatan Umno. Kaedah ini lebih interaktif dan segar berbanding hanya membaca menerusi teks.

 

  • Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dengan mengkhusus bidang media dan filem

Leave a Reply