PDRM Jamin Keselamatan Sukan SEA 2017

Oleh Atikah Mior

 

Seramai 12,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi menjamin keselamatan pegawai dan atlet Sukan SEA Ke-29 dari 19 hingga 30 Ogos ini dan Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 September depan.

Turut serta memelihara aspek berkenaan ialah Pasukan Anti Keganasan yang terdiri daripada anggota Komando Polis VAT 69 yang mempamerkan kecekapan menahan pengganas dan menyelamatkan tebusan dalam demonstrasi ‘Tabletop Exercise’ (Ex Rimau 2017) di Padang Kawad Maktab PDRM, Cheras Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pegawai dan anggota pasukan keselamatan ditugaskan menjaga keselamatan di lokasi kejohanan dan tempat tinggal atlet.

“Hari ini (semalam), kita melakukan latihan bagi menunjukkan kesiapsiagaan anggota kita sempena Sukan SEA 2017.

“Ini latihan keenam. Sebelum ini kita buat di Terengganu, Langkawi dan KLCC. Kita yakin dapat memastikan keselamatan sepanjang berlangungnya Sukan SEA,” katanya pada sidang media selepas demonstrasi itu.

Demonstrasi itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Khalid berkata, setakat ini, PDRM tidak menerima maklumat berkaitan ancaman daripada mana-mana pihak yang cuba untuk melakukan sabotaj kepada temasya sukan itu.

Beliau berkata, orang ramai perlu menyalurkan maklumat kepada polis jika mengesyaki ada kegiatan pihak tertentu yang mengancam keselamatan sepanjang temasya sukan berkenaan.

Kerajaan sebelum ini menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Keselamatan Sukan SEA yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Objektif utama pengurusan krisis adalah untuk menyelesaikan krisis berkenaan dengan segera, sekali gus menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Comments

comments