MINDA: Ayuh Raikan 31 Ogos Hari Kebangsaan

Oleh Melati Mohd Ariff

 

Semakin hampir tarikh 31 Ogos, semangat merdeka membara di dada bukan setakat mahu mengibarkan bendera, rasanya ingin menjerit, melaungkan perkataan keramat “Merdeka, Merdeka, Merdeka”, tidak kisahlah berapa kali pun.

Rata-rata setiap rakyat bumi bertuah ini tidak berkira langsung untuk berbelanja membeli sebanyak mungkin “Jalur Gemilang” biar meriah keliling rumah dengan hiasan bendera, baik yang tinggal di flet, kondominium mahupun apa jenis kediaman, di bandar, di pinggir bandar juga di kampung.

Biar dunia melihat betapa cintanya rakyat ini kepada negara yang menjadi naungan hidup mereka, daripada nenek moyang sehinggalah kepada generasi muda yang berikutnya, biar bertaut erat rasa cinta kepada tanah air.

Meskipun ada cubaan pihak yang mahu mengganggu-gugat keharmonian serta kerukunan hidup masyarakat yang tidak mahu lagi dijajah dan keringat diperah.

Tarikh 31 Ogos juga dinanti untuk sama-sama berduyun-duyun ke tapak sambutan Hari Kebangsaan, bersama-sama barisan pemimpin mempamerkan rasa bangga dengan bumi bertuah ini yang semakin harum namanya digilap berkilat di persada dunia dengan pelbagai contoh kemajuan pembangunan melakar kejayaan.

Jalan raya yang lazimnya sibuk dengan kenderaan menjadi medan rakyat berhimpun, dengan pakaian berwarna-warni gilang gemilang, berbondong-bondong melangkah ke satu tujuan, mahu meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang cuma datang setahun sekali.

Jika sebelum bulan kemerdekaan ini, orang sibuk merancang untuk bercuti raya tetapi masuk bulan Ogos mereka juga tidak lupa turut menandakan di atas kalendar tarikh bersejarah yang mesti diraikan bersama anggota keluarga, jiran atau sahabat-handai.

Bukan sahaja diraikan di tapak sambutan malah di kawasan perumahan antara jiran, ramai-ramai berkumpul, di samping makan dan minum, ada juga acara khas untuk menanam semangat kemerdekaan.

Ada yang bertukar-tukar cerita tentang sejarah kemerdekaan tanah air dan anak turut digalak tampil bercerita tentang perasaan mereka mengenai Hari Kebangsaan.

Sekolah serta pusat pengajian tinggi juga tidak ketinggalan mengadakan pelbagai acara untuk menunjukkan kepada masyarakat di dalam hati sanubari mereka turut menebal rasa kasih dan sayang kepada negara.

Tidak perlu disuruh-suruh, masing-masing secara sukarela tampil dengan pelbagai idea untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

Jika tahun-tahun sebelum ini pelajar perlu dikerah tenaga untuk datang beramai-ramai sekiranya ada program sambutan, kini mereka menawar diri tanpa perlu dijanji hadiah atau markah tambahan.

Sebenarnya semua itu hanya imaginasi penulis yang angan-angannya melayang jauh ke langit yang kembali berjerebu, halusinasi melihat Jalur Gemilang berkibar di setiap penjuru kawasan perumahan, kawasan perniagaan, kawasan awam, malah di seluruh pelosok negara sepanjang bulan kemerdekaan!

Semoga imaginasi ini menjadi kenyataan pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, berganda-ganda hendaknya kemeriahan sambutan gilang-gemilang berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kasihanlah kepada pak menteri dan pelbagai pihak yang saban tahun pasti menyeru, merayu agar dikibar Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan.

Bahkan ada juga yang menghulur bendera percuma untuk dipasang di kenderaan. Namun masih tidak ramai yang menyambut seruan. Dengar atau tidak dengar, kisah atau tidak kisah.

Saban tahun begitulah keadaannya.

Begitu hambar! Boleh nanti dikira berapa biji rumah yang mengibarkan bendera malah ramai yang mengunci pintu dan pergi bercuti atau habis-habis balik kampung walaupun baru sahaja habis episod balik kampung beraya.

Hati penulis bagaimanapun kembali berbunga tatkala membawa surat pembaca yang disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan (21 Julai, 2017).

Penulis surat pembaca itu begitu patriotik sekali menyeru ibu bapa menggalakkan anak mereka mula mengibarkan Jalur Gemilang.

Masih ada harapan untuk Hari Kebangsaan disambut meriah sekiranya ramai yang berfikiran seperti penulis surat pembaca itu.

Benarlah kata beliau, tempat terbaik untuk berbuat demikian ialah di rumah sendiri! Semangat patrotisme dan cintakan tanah air perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda. Benarlah. “Melentur buluh dari rebungnya”.

Beliau sendiri menggalakkan dua cucunya untuk menghargai Jalur Gemilang dan akan mengibarkan bendera itu sekurang-kurangnya sebulan sebelum tiba Hari Kemerdekaan.

Semangat patriotik penulis itu saya sanjung tinggi dan seharusnya dicontohi. Semangat seperti inilah yang perlu ada dalam setiap hati dan jiwa rakyat Malaysia.

Tahun ini, 31 Ogos, 2017 ini, genaplah 60 tahun bumi berdaulat ini merdeka, satu tempoh yang panjang dengan pelbagai catatan dan rentetan peristiwa yang banyak mengisi lipatan sejarah termasuk beberapa peristiwa hitam yang harus dijadikan teladan supaya tidak berulang.

Tema Hari Kebangsaan tahun ini “Negaraku Sehati Sejiwa” jelas menunjukkan betapa besarnya harapan pucuk pimpinan agar perpaduan merangkai hati rakyat Malaysia.

Sekali lagi Dataran Merdeka Kuala Lumpur akan menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan sementara Kota Kinabalu, Sabah dipilih menjadi tuan rumah untuk sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept akan datang.

Sambutan Hari Kebangsaan 2017 dilapor akan menghidupkan semula nostalgia peristiwa bersejarah pengisytiharan kemerdekaan pada 1957.

Mengikut catatan di laman sesawang Arkib Negara Malaysia, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan secara rasmi tepat pukul 9.30 pagi pada 31 Ogos,1957. Upacara berlangsung di Stadium Merdeka Kuala Lumpur dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuk Raja-raja Melayu dan tetamu khas dalam dan luar negara.

Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali selepas membaca pengisytiharan kemerdekaan. Seruan azan diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu diiringi lagu kebangsaan ‘Negaraku’ menyusul.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan Amanat Merdeka pada 30 Ogos di Angkasapuri Kuala Lumpur. Sambutan Ambang Merdeka dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas majlis penutupan Sukan SEA.

Harapan penulis agar ramai yang akan keluar ke Dataran Merdeka untuk sama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan program lain yang sudah diatur.

Inilah masanya untuk mempamerkan rasa sayang kepada tanah air dengan meluangkan masa untuk sama-sama berhimpun dan kemudiannya melaungkan perkataan keramat ‘MERDEKA’ agar tersemat dalam sanubari rasa cinta di bumi bertuah ini.

Kita mohon agar juga keamanan negara kekal berterusan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum yang sekian lama dipupuk dan dibelai terus mekar bercambah hingga ke generasi-generasi akan datang.

Bumi Malaysia ini akan tetap merdeka. Berjanjilah! Merdeka! Merdeka! Merdeka!

 

 

  • Penulis ialah pewarta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

Comments

comments