MINDA : Kecantikan Kajol Pukau Peminat Malaysia

Oleh R.S. Ratcharathan

 

Seawal pukul 4.00 petang lagi, kawasan Jalan Masjid India menjadi riuh-rendah pada Khamis (27 Julai) lepas gara-gara menunggu kehadiran ratu Bollywood, Kajol Devgan.

Ribuan peminat bersorak bagaikan dilanda histeria sebaik sahaja heroin filem Dilwale itu melangkah masuk ke kawasan Jalan Bunus pada kira-kira pukul 8.30 malam.

Seramai 2,000 orang peminat dari pelbagai kaum yang membanjiri kawasan itu bersorak dan laungan mereka pada malam itu agak berbeza, apa lagi mereka berpeluang menyaksikan idola pujaan mereka dari dekat.

Aktres Bollywood yang diterbangkan khas dari India bagi mempromosi filem baharu lakonannya ‘Velai Illa Pattadhari 2’ (VIP2) di Malaysia tampil anggun dengan Lengga berwarna biru, melemparkan senyuman mesra sambil melambai tangan kepada para peminat.

Kemeriahannya begitu terasa apabila selebriti cantik berusia 43 tahun itu diiringi hero filem itu Dhanush Kasthuri Raja, pelakon Tamil yang kian popular, dan pengarahnya R.Soundarya yang juga anak kepada super star dunia filem Tamil, Rajnikanth.

MINAT LAKON FILEM TEMPATAN

Ini adalah kali kedua Kajol menjejakkan kaki di negara ini selepas kali pertama berada di sini pada September 2014. Bintang Bollywood itu masih kelihatan anggun seperti dilihat dalam filem Dilwale Dulhania Le Jayenge (1995) dan Kuch Kuch Hota Hai (1998).


“Beliau sangat cantik dan tidak berubah. Sama seperti menonton Anjali (watak Kajol) dalam Kuch Kuch Hota Hai,” kata M.Shalina, 26, antara peminat setia Kajol.

Seorang lagi peminat, Siti Zulqhaifah Ibrahim, 20, yang tiba di Jalan Masjid India pada pukul 4.00 petang berkata beliau tidak pernah terfikir akan mendapat peluang melihat sendiri idolanya itu dari dekat.

Kajol, yang juga isteri kepada pelakon Ajay Devgan itu teruja dengan sambutan dan sorakan serta tepukan gemuruh yang diberikan peminatnya di Malaysia.

“Selamat petang, Thank you. Saya gembira dengan sambutan dan sokongan yang diberikan oleh anda semua.

Anda memang terbaik. I love you!,” itu laungan pertama Kajol sejurus memegang mikrofon di pentas yang mencairkan ribuan peminat yang turut diiringi laungan ‘Love you Kajol’.

Ibu kepada dua anak itu juga tidak menolak tawaran untuk berlakon dalam filem tempatan jika skripnya baik dan menarik apabila ditanya wartawan sama ada beliau berminat berlakon dalam filem Malaysia.

“Skrip saya adalah hero saya dan itulah yang lebih penting. Sudah tentu ya (mahu berlakon), jika ada peluang, katanya.

Dalam kunjungan singkatnya, bintang dunia itu turut menghadiri majlis minum petang bersama isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said di Putrajaya selain ditemuramah oleh beberapa stesen radio dan televisyen tempatan.

Sebelum pulang ke negara asalnya, jelitawan itu juga memuat naik videonya ketika dalam majlis promosi filem VIP2 dengan tulisan ‘So much love. Thank you Malaysia. Jumpa lagi’ dalam laman Twitternya yang mendapat 6,300 ‘likes’ dan 2,800 ‘retweet’.

MUNCUL FILEM TAMIL SELEPAS 20 TAHUN

Memulakan kariernya pada 1992 dengan membintangi filem berjudul Bekhudi, anak kelahiran Maharashtra, India itu meningkat naik popularitinya dalam dunia Bollywood melalui beberapa filem popular seperti Ishq (1997), Pyaar To Hona Hi Tha (1998) dan Kabhi Kushi Kabhie Gham (2001).

Filem Dilwale Dulhania Le Jayenge yang dibintanginya pada tahun 1995 mencatat keuntungan besar ketika itu, iaitu sebanyak AS$19 juta (RM82 juta), dan filem itu membawa beliau memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Filmfare.

Kajol, antara pelakon wanita Bollywood yang pernah menerima bayaran tertinggi, mendirikan rumahtangga dengan pengarah dan pelakon Ajay Devgan pada 24 Feb, 1999 di kemuncak kariernya ketika itu.

Selepas melahirkan anak sulungnya pada 2003, Kajol hanya muncul dalam beberapa filem antaranya Fanaa dan My Name is Khan kerana mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh masa kepada kehidupan berkeluarga.

Kemunculan Kajol dalam filem VIP2 menandakan beliau kembali ke layar perak Tamil selepas 20 tahun, iaitu selepas filem Minsara Kanavu pada tahun 1997.

Meskipun, bahagian pertama filem VIP tidak melibatkan lakonan Kajol, difahamkan dalam bahagian kedua beliau akan memainkan watak antagonis sebagai seorang ahli perniagaan sombong. Pastinya peminat dari seluruh dunia menunggu ketibaan filem VIP 2.

DHANUSH TERKEDU SEKETIKA

Sementara itu, Dhanush, yang terkedu seketika apabila melihat sambutan peminat Malaysia meluahkan perasaan gembira dan yakin filem VIP 2 itu akan menjadi filem ‘box office’.

“Saya tidak pernah mendapat sambutan sebegini. Sokongan dan kasih sayang peminat Malaysia memang luar biasa,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau juga menyanyikan sebuah lagu Tamil berjudul ‘Valkai Thedi’ atas permintaan peminat yang hadir.

Menantu Rajnikanth itu turut berkongsi pengalamannya menyambut hari kelahiran beliau pada 28 Julai lepas bersama peminat Malaysia.

“Begitu terharu dengan sambutan pemingat di Malaysia… lebih-lebih lagi bila mereka menyanyikan lagu selamat hari jadi untuk saya,” katanya menerusi Twitter.

Dalam bahagian pertama VIP, Dhanush memegang watak sebagai seorang siswazah kejuruteraan yang menganggur berikutan lambakan jurutera dan akhirnya mendapat pekerjaan atas usaha gigih beliau.

VIP 2 iaitu kesinambungan VIP yang diterbitkan pada 2014 masih mengekalkan beberapa pelakon asal seperti Amala Paul, Vivek, Samuthirakani selain Dhanush dan Kajol sebagai pelakon tambahan.

MALIK STREAMS HASRAT BAWA BANYAK FILEM TAMIL, HINDI

Malik Streams Corporation Sdn Bhd, antara syarikat produksi perfileman Hindi dan Tamil yang terbesar di negara ini mendapat hak mengedar filem VIP 2 di Malaysia.

Pengarah Urusannya Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata segala kos termasuk pengedaran dan promosi filem VIP 2 di negara ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu atas rasa tanggungjawab terhadap Malaysia dengan membawa lebih ramai pelancong.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat menambah pendapatan negara melalui aliran mata wang dari negara luar dan berhasrat untuk membawa lebih banyak filem Tamil dan Hindi ke Malaysia bagi tujuan penggambaran,” katanya.

Abdul Malik, yang juga penerbit bersama filem lakonan legenda Tamil Rajinikanth, ‘Kabali’ yang mencecah kutipan RM13 juta di Malaysia juga adalah penerbit bersama untuk filem VIP 2 selain S.Thanu di bawah syarikat penerbitan Wunderbar Films dan V.Creations.

Filem yang berdurasi dua jam 13 minit itu dijangka ditayangkan di 98 layar perak di Malaysia dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telugu bermula bulan ini (Ogos).

 

  • Penulis ialah pewarta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan foto oleh MStar.Online

Comments

comments