Keuntungan Sebelum Cukai Suku-2 PCG Melonjak 48 Peratus Kepada RM1.16 Bilion

Keuntungan sebelum cukai Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2017 melonjak 48 peratus kepada RM1.16 bilion daripada RM783 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PCG berkata, hasil meningkat 24 peratus kepada RM3.96 bilion daripada RM3.20 bilion sebelumnya.

Syarikat itu berkata suku tersebut menandakan pencapaian penting bagi kumpulan dengan bermulanya operasi komersil di kilang Ammonia dan Urea Sabah (Samur) pada Mei 2017.

“Dengan operasi kilang itu berjalan lancar, kuantiti pengeluaran dan jualan kumpulan meningkat berbanding suku yang sama sebelumnya dengan keseluruhan penggunaan kilang kumpulan ialah sebanyak 90 peratus bagi suku tersebut,” kata syarikat itu.

PCG berkata tidak termasuk SAMUR, penggunaan kilang syarikat itu berjumlah 89 peratus berbanding 95 peratus dalam suku yang sama sebelumnya, disebabkan oleh tahap aktiviti penyenggaraan yang tinggi.

Menurut syarikat itu, keseluruhannya, purata harga produk bertambah baik disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah.

Pada masa hadapan, PCG berkata, keputusan operasi kumpulan dijangka dipengaruhi terutamanya oleh keadaan ekonomi global, kadar penggunaan kemudahan pengeluaran dan harga produk petrokimia yang mempunyai hubung kait tinggi dengan harga minyak mentah, terutamanya bagi segmen olefins dan derivatif.

“Penggunaan kemudahan pengeluaran kami bergantung kepada aktiviti penyenggaraan kilang dan bekalan tersedia yang mencukupi serta bekalan utiliti.

“Kumpulan akan meneruskan program kecemerlangan operasinya dan pengurusan hubungan pembekal bagi mengekalkan tahap penggunaan kilang di atas paras penanda aras industri, walaupun rendah sedikit berbanding 2016, disebabkan pemulihan statutori tinggi yang dirancang dalam suku ketiga,” kata syarikat itu.

Mengenai olefins dan derivatif, kumpulan itu menjangkakan pasaran akan kukuh dalam tempoh terdekat, mendapat sokongan daripada bekalan terhad daripada pemulihan berjadual dan peningkatan permintaan daripada aktiviti simpanan semula stok.

Sementara itu, syarikat tersebut menjangkakan sentimen lemah bagi baja apabila permintaan berkurangan dalam keadaan lebihan bekalan, manakala harga metanol dijangka stabil disebabkan oleh permintaan hiliran kukuh dan harga bahan mentah murah.- BERNAMA

Comments

comments