Koleksi Eksklusif Sukan SEA

Kemeriahan temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada 19 hingga 30 Ogos ini disemarakkan lagi dengan pelancaran koleksi edisi terhad pelbagai barangan dan cenderamata sebagai simbolik tanda penghargaan daripada pihak tuan rumah untuk masyarakat tempatan, pelancong mahupun kontinjen-kontinjen yang datang bertanding untuk dijadikan kenang-kenangan.

Lazimnya pilihan cenderamata barangan seperti payung, kemeja-T, mug, magnet, beg, rantai kunci dan sebagainya.

Namun, buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran sukan berprestij itu, cenderamata berupa helaian tudung diperkenal sebagai buah tangan istimewa.

Jenama tudung tempatan, HerMajesty Scarves telah diberi kepercayaan untuk mengeluarkan produk tudung dan selendang bertemakan Sukan SEA dengan rekaan eksklusif beridentitikan Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara.

Bekerjasama dengan syarikat pengeluar barangan rasmi, FMStore, sebanyak tujuh rekaan tudung dan selendang diperkenal.

Pilihan warna-warna terang dan ceria melambangkan semangat kesukanan, di samping penggunaan material yang selesa dipakai walau berada dalam cuaca panas.

Ketua Pegawai Eksekutif HerMajesty Scarves, Noridah Udin Niah Bahari begitu teruja apabila dipelawa untuk menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ Sukan SEA memandangkan jenamanya baru tahun pertama memasuki pasaran.

Dia menganggap pelawaan itu sebagai satu peluang keemasan bagi melonjakkan jenama yang baru bertatih dalam industri fesyen tempatan.

“Trend berhijab kini semakin diterima dalam kalangan wanita lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai jenama fesyen yang memfokuskan kepada menutup aurat dengan sempurna.

“Apabila saya memilih perniagaan yang mempunyai pasaran ini, saya perlu tampil berbeza bagi memperlihat saya tidak ketandusan idea dan mengelak daripada dilihat sama seperti label-label lain.

“Ternyata pendekatan untuk membawa rekaan tersendiri seperti mengambil sentuhan gaya Barat, bercorak penuh dan banyak bermain dengan warna-warna berani berjaya menarik pelanggan dalam kalangan wanita yang mengidamkan rekaan tudung eksklusif dengan harga yang berpatutan.

“Apabila diberi peluang untuk mengeluarkan cenderamata berbentuk produk tudung dan selendang, saya merasakan inilah masanya saya membawa identiti HerMajesty Scarves.

“Saya perlu melakukan yang terbaik untuk membawa jenama ini ke peringkat yang lebih tinggi apabila dapat diperkenal kepada seluruh dunia melalui pengenalan cenderamata kenang-kenangan ini,” katanya ketika ditemui Rona, Mega baru-baru ini

Semangat Patriotik

Hanya dikeluarkan sebanyak 1,400 helai, iaitu kira-kira 200 helai bagi satu rekaan. Jumlah yang terhad menjadikan koleksi tudung ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi dan tidak mungkin lagi dikeluarkan selepas temasya tamat.

Tudung yang dihasilkan dianggap istimewa kerana rekaannya turut mengambil idea daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menariknya, setiap helai mempunyai slogan rasmi KL2017, iaitu Rising Together (Bangkit Bersama), sekali gus pembeli dapat menunjukkan sokongan mereka terhadap penganjuran sukan tersebut dan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan penggemar fesyen.

Berharga RM120 sehelai, Noridah turut mengalu-alukan syarikat korporat yang berminat untuk menaja tudung tersebut kepada petugas-petugas KL2017.

Setiap pembelian melalui laman web HerMajesty Scarves boleh menggunakan kod promosi HerSEAGames bagi mendapatkan harga istimewa iaitu RM99 sehelai.

Koleksi boleh dilihat di laman web, www.hermajestystore.com dan fmstore.com.my

– UTUSAN ONLINE

Comments

comments