Jawatankuasa tersebut yang diketuai Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fuziah Salleh turut dianggotai Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali selaku wakil Barisan Nasional (BN) serta Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Azman Ismail yang mewakili Pas.

Fuziah berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kaukus Parlimen Global Mengenai Penyakit Tibi yang turut diwujudkan di negara-negara lain.

“Di negara-negara lain seperti Filipina, Nepal dan Indonesia sudah mempunyai jawatankuasa sedemikian untuk menangani penyakit itu.

“Justeru, kami mahu memulakan usaha ke arah membanteras penyakit tibi pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE