PARLIMEN: Skor Indeks Daya Saing Global Negara Meningkat

Skor keseluruhan Indeks Daya Saing Global negara meningkat kepada 83.53 tahun ini berbanding 83.05 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata peningkatan itu adalah hasil penambahbaikan ketara bagi indikator utama seperti pelanggan jalur lebar mudah alih, produktiviti buruh dan pengangguran belia.

“Walaupun kedudukan negara turun dari tangga ke-24 tahun ini berbanding ke-19 pada tahun lalu, skor keseluruhan Malaysia menunjukkan peningkatan.

“Bagaimanapun, pembangunan ekonomi semata-mata bukanlah petunjuk yang sempurna bagi menggambarkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang bertanya mengenai kedudukan negara dalam Indeks Daya Saing Global.

Dalam soalan tambahan, Kor Ming bertanya sama ada anggota Kabinet akan mengisytihar harta berikutan persepsi rasuah di negara ini semakin teruk.

Menjawab soalan itu, Abdul Rahman mengakui persepsi rasuah wujud di negara ini dan antara penyumbangnya disebabkan pemimpin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

“Persepsi ‘corruption’ (rasuah) memang betul seperti yang kita boleh lihat sendiri apabila Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

“Dari segi aset, kita buat deklarasi kepada Perdana Menteri. Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai akses terhadap deklarasi aset.

“Sekiranya SPRM menemui perubahan drastik terhadap aset itu, mereka boleh menyiasat tanpa pengetahuan Perdana Menteri,” katanya. – BH Online

Comments

comments