ANALISIS: Lesen Khas Kendali Umrah Pelihara Kesucian Ibadah Kepada Allah

Oleh Hassan Omar

Umat Islam yang berniat menunaikan ibadah umrah seharusnya lega dan gembira dengan peraturan baru diperkenalkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mulai 1 Oktober 2017.

Mulai tarikh berkenaan, hanya agensi pelancongan yang mempunyai Lesen Khas Umrah dikeluarkan kementerian itu akan dibenarkan mengendalikan pakej umrah. Ia bertujuan membolehkan kementerian memantau secara komprehensif agensi pelancongan terbabit bagi membanteras kes penipuan pakej umrah.

Setakat ini ada kira-kira 500 syarikat aktif mengendalian pakej umrah.

Selain itu, kementerian berkenaan mencatatkan 96 kes penipuan pakej umrah yang membabitkan syarikat berlesen dan tidak berlesen sejak 2012 hingga Julai 2017.

Statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi tempoh yang sama mencatatkan ada 3,656 kes dengan nilai tuntutan berjumlah RM22.615 juta di Tribunal Tuntutan Pengguna manakala statistik polis merekodkan 281 kes penipuan pakej umrah/haji dengan nilai kerugian RM10.771 juta.

Modus operandi kaki belit yang mencari wang mudah dengan menganiaya mangsa cukup mudah. Kaki belit menawarkan pakej umrah dan pelancongan jauh lebih murah berbanding pasaran sebelum mendaftarkan satu demi satu syarikat pelancongan untuk mengaburi mata orang ramai.

Pada peringkat permulaan, kaki belit membuka syarikat berstatus enterprise dan kemudian mendaftarkannya sebagai syarikat sendirian berhad (sdn bhd) untuk menarik minat orang ramai sedangkan pakej pelancongan atau umrah yang ditawarkan itu tidak wujud sama sekali.

Bertindak atas maklumat dan aduan mangsa penipuan, kementerian itu membatalkan lesen 14 syarikat pelancongan dan pengendali umrah serta ziarah kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) sejak 2009 hingga Ogos 2017.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 11 syarikat dibatalkan lesen dan satu syarikat ditarik lesen bidang pelancongan luar negara (outbound) selepas didapati melakukan penipuan manakala dua lagi sedang dalam peringkat rayuan.
Seharusnya kita mengucapkan syabas kepada kementerian berkenaan kerana mengambil langkah tegas tidak mempertimbangkan permohonan lesen baru oleh mana-mana individu dan syarikat yang sudah disenarai hitam atas kesalahan di bawah akta itu.

Selain itu, kementerian berkenaan turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar pihak yang berkenaan dihalang daripada menubuhkan syarikat baru berkaitan pelancongan atau mengambil alih syarikat lain bagi menjalankan aktiviti berkaitan pelancongan.

Tahniah juga diucapkan kepada langkah kementerian itu bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menghalang laman sesawang milik syarikat dan individu tidak berlesen yang mengiklankan pakej umrah dan ziarah.

Semoga tiada lagi berlaku mangsa yang sudah bersiap sedia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan niat untuk berangkat ke Tanah Haram tiba-tiba terpaksa melangkah pulang ke rumah masing-masing akibat diperdaya agensi pelancongan yang mengaut keuntungan dengan cara mudah atas penderitaan insan lain.

  • Penulis ialah pengarang digital yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam membuat liputan politik tanah air

Comments

comments