PARLIMEN : Anggota Parlimen Labuan Temui TPM Bincang Isu Pembangunan

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli mengunjungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berhubung perkembangan isu berkaitan pusat kewangan antarabangsa Malaysia di Labuan, pada Khamis lalu.

Perjumpaan di pejabat timbalan perdana menteri di bangunan Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Zahid mengenai pelbagai isu melibatkan pulau bebas cukai itu serta penduduknya.

“Saya berterima kasih kepada TPM kerana di sebalik kesibukan jadual tugasnya, beliau meluangkan masa untuk mendengar perkembangan tentang pulau ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Rozman, yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan, berkata Zahid diberi penerangan mengenai pelbagai perkembangan isu termasuk potensi pembangunan serta prestasi sektor pelancongan pulau itu.

?Sebagai pengerusi Pasukan Petugas Khas Labuan yang baru dibentuk, saya juga memberi penerangan terperinci kepada beliau berkenaan Pelan Induk Pembangunan Labuan yang bakal dilancar, menggariskan tentang pembangunan masa depan pulau itu.

Rozman berkata beliau juga mengetengahkan beberapa langkah jangka pendek yang diambil pada mesyuarat petugas khas itu untuk perhatian Zahid bagi meringankan masalah ekonomi dihadapi rakyat yang hilang pekerjaan akibat kemerosotan sektor minyak dan gas serta ekonomi global secara menyeluruh. — BERNAMA

Comments

comments