Seni Solek Aman AF Demi Single

JUARA Akademi Fantasia 2014 (AF2014), Mohammad Razman Abdul Aziz (Aman), 24 tampil dengan solekan penuh berkarakter pop art atau seni pop sebagai imej terbarunya.

Perubahan dilakukan Aman daripada seorang lelaki ‘nerd’ kepada perwatakan komik bertujuan mencari kelainan dalam mempromosikan single terbarunya, Sulit.

“Jika dulu single pertama dan kedua bernuansakan irama santai tetapi single terbaru peralihan kepada irama progresif sebagai bukti kematangan dalam nyanyian.

“Saya melakukan perubahan drastik tampil dengan imej bersolek.

Ditanya apakah tidak bimbang dikecam peminat dan netizen tampil dengan imej seperti itu, Aman berkata, tiada apa perlu dibimbangkan kerana bukan mengenakan solekan cantik menyerupai wanita.

“Solekan ini berkonsep komik dan pop art bukannya solekan cantik. Saya mahu mendidik umum terdapat pelbagai jenis solekan masih mengekalkan ciri maskulin seorang lelaki dan ia tidak semestinya untuk golongan hawa saja,” katanya.

Aman akan mengadakan majlis pelancaran single ketiganya pada 21 Ogos ini di Red Box, The Gardens.

Apakah imej solekan akan kekal sebagai trademarknya? Aman berkata pendekatan itu hanya digunakan untuk tujuan promosi dan kemunculan single Sulit.

“Sepanjang tempoh promosi Sulit, inilah imej digayakan.

“Apapun semuanya bergantung kepada permintaan ramai. Kalau ada penganjur persembahan atau media mahu saya mengenakan solekan tiada masalah memenuhi kehendak mereka asalkan bukan solekan feminin.

“Untuk single selepas ini saya akan cuba sesuatu berlainan,” katanya.

Comments

comments