SKM Salur RM30 Juta Dana TMP Kepada 22 Koperasi

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyalurkan sejumlah RM30 juta kepada 22 koperasi di seluruh negara dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengggunaan (KPDNKK), Datuk Henry Sum Agong berkata ia diperolehi daripada dana Tabung Modal Perniagaan (TMP) Jabatan Pembangunan Koperasi dengan tiga koperasi di Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM3 juta.

“Pelbagai bantuan disediakan kepada koperasi antaranya pinjaman tabung modal pusingan, tabung pembiayaan suntikan modal koperasi, bantuan pembangunan SKM, geran dan pinjaman perniagaan serta bantuan daripada kerajaan negeri.

“Ia bertujuan memastikan semua koperasi ini terus meningkat ke tahap lebih tinggi. Kementerian juga berharap semua bantuan dana kewangan sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2017 peringkat Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di sini.

Turut hadir Pengarah SKM Terengganu, Mohd Ruslan Awang; Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad serta Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Sementara itu, Ahmad Razif dalam ucapannya menyifatkan perkembangan koperasi di Terengganu juga semakin positif dengan perolehan koperasi meningkat daripada RM389.10 juta pada 2015 kepada RM422.23 juta tahun lalu.

“Ini membuktikan peranan koperasi sebenarnya mampu memberikan impak amat besar terhadap pembangunan sesebuah negara.

“Koperasi di China, Jepun dan Kanada misalnya sangat aktif dan menjadi antara faktor utama penggerak ekonomi negara terbabit,” katanya. — BERNAMA

Comments

comments