Aksi Pembukaan Bola Sepak Bermula Esok

Sukan bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pastinya menjadi tumpuan utama perebutan ibu segala pingat, temasya dwitahunan berprestij di rantau Asia Tenggara.

Sepak mula untuk acara sukan itu bermula Isnin ini melibatkan 11 negara dalam kategori lelaki dan lima negara dalam kategori wanita.

Bagi kategori lelaki, pasukan tuan rumah, Malaysia diundi bersama-sama Myanmar, Singapura, Brunei dan Laos dalam Kumpulan A.

KL2017 menjadi pentas terbaik untuk skuad bola sepak Malaysia meraih pingat emas, namun status selaku tuan rumah bukanlah satu kelebihan apabila Malaysia pernah tewas kepada kepada Thailand 0-1 pada temasya 2001.

Myanmar yang merupakan finalis edisi 2015 di Singapura di bawah bimbingan jurulatih Jerman, Gerd Zeise, pasti halangan awal untuk skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee menjuarai aksi peringkat kumpulan.

Bagi kumpulan B pula, dilabelkan kumpulan ‘maut’ apabila mengumpulkan juara bertahan, Thailand, finalis edisi 2013 Indonesia, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Timor-Leste.

Thailand yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA sebanyak 16 kali tetap dianggap pasukan pilihan selain Vietnam yang melakar sejarah layak ke pusingan akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) 2018.

Pasukan Indonesia yang kali terakhir memenangi emas pada 1991 ketika di Manila juga dilihat berpotensi mengiringi Thailand ke peringkat separuh akhir.

Seperti Malaysia, skuad ‘Gajah Putih’ itu turut berazam mencatat keputusan positif dalam setiap perlawanan kumpulan untuk mengelak bertemu Malaysia di separuh akhir sekiranya mereka hanya muncul sebagai naib juara kumpulan.

Malaysia dan Thailand turut menjadi antara negara di rantau Asia Tenggara yang berjaya mengesahkan tempat di pusingan akhir Piala AFC B-23 2019 yang dijadual berlangsung di China Januari depan.

Dalam kategori wanita pula, dua pasukan handalan Thailand dan Vietnam dijangka terus mendominasi saingan edisi kali ini yang menggunakan format ’round-robin’ bermula 16 Ogos ini.

Kehebatan dua pasukan tersebut terbukti menerusi rekod cemerlang kedua-dua pasukan yang silih berganti meraih pingat emas sejak acara itu dipertandingkan pada 1985 dengan Thailand muncul pemenang terbanyak iaitu lima kali sementara Vietnam empat kali. – BERNAMA

Comments

comments