Maaf Perkataan Keramat

Kontroversi dan permohonan maaf oleh artis Malaysia sentiasa mencuri tumpuan dan menjadi tajuk utama dalam ruangan hiburan di akhbar mahupun portal.

Terbaru, yang menjadi topik perbualan tentunya kontroversi rumah tangga Aliff Aziz yang dikaitkan dengan orang ketiga.

Namun, walaupun permohonan maaf sudah dibuat, masih ada beberapa isu lain yang timbul dan membuatkan kes itu belum menemui jalan penamat apabila agenda tuding-menuding berterusan.

Berikut adalah komen daripada artis yang pernah terbabit dalam kontroversi namun semuanya dapat diselesaikan dengan permohonan perkataan paling berkuasa, maaf.

Ayda Jebat

“Memohon maaf bukanlah bererti anda salah atau tidak. Paling utama, sentiasa berfikir ia adalah untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Dalam hubungan cinta dan rumah tangga sekalipun, permohonan maaf adalah untuk membetulkan keadaan.

Apabila permohonan maaf sudah dibuat, berhenti jugalah untuk keluarkan buktii lain bagi menyalahkan pihak lawan yang terbabit.

Kalau tidak, ia hanyalah permohonan maaf yang sekadar acah-acah dan hanya ingin menutup mata peminat tetapi sebenarnya tidak ikhlas.

Saya sendiri pernah membuat beberapa pihak terasa dengan gurauan yang saya sendiri tidak sedari tetapi saya tidak berat mulut untuk membuat permohonan maaf.”

Nabil Ahmad

“Bagi saya, permohonan maaf selepas berlakunya sesuatu kontroversi adalah untuk diri sendiri. Itu paling utama. Kadangkala, dengan memohon maaf, kita akan lebih tenang menjalani kehidupan selepas itu. semua orang ada melakukan kesilapan. Permohonan maaf juga adalah langkah pertama dalam memperbaiki sesuatu keadaan, sebelum kita melakukan langkah seterusnya. Selepas memohon maaf, perbaiki kesilapan dan kekurangan diri. Pastikan kita tak ulang lagi melakukan apa yang sudah dilakukan. Untuk saya, sebagai

artis, selesa untuk memohon maaf secara peribadi dan secara terbuka. Secara peribadi adalah perlu kerana kita yang bersalah kepada orang itu.

Permohonan maaf secara terbuka pula adalah untuk menjelaskan kepada semua, terutama peminat bahawa saya sudah memohon maaf.”

Arja Lee

“Kita duduk di Malaysia dan dalam kalangan masyarakat Melayu, kita ada budaya dan adat. Lihat artis yang bernama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, dia sendiri pun pernah memohon maaf kalau ada melakukan perkara yang dirasakan salah. Bagi saya, sama ada kita melakukan kesilapan yang sengaja atau tidak, jangan takut meminta maaf. Pertama, ia akan menjadi pengajaran kepada semua dan kedua, menjadi peringatan kepada diri sendiri supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

Setiap orang ada ego namun sebagai artis, kita perlu ringan mulut untuk memohon maaf. Lagipun, ia adalah sesuatu yang mulia dan sepatutnya dilakukan setiap hari.”

Uqasha Senrose

“Manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Kadangkala, bukan kita minta sesuatu situasi itu berlaku tapi kerana memang sudah ditakdirkan untuk berlaku.

Tiada manusia yang benar-benar suci dalam dunia ini dan ada melakukan walau secebis kesilapan. Jangan kita cepat menghukum kerana daripada kesilapan orang itu, kita boleh belajar sesuatu.

Kita perlu meminta maaf untuk betulkan keadaan, dan dengan itu, sentiasa berharap agar diterima semula oleh masyarakat.

Industri kita tidak besar mana. Jadi, kalau berlaku sesuatu insiden dan si pelaku sudah memohon maaf, ambil itu sebagai iktibar supaya kita tidak melakukan apa yang dilakukannya.” HMetro Online

Comments

comments