Najib Lulus RM8.5 Juta Projek Pembangunan Di Machang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan lebih RM8.5 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat di kawasan Parlimen Machang.

Beliau berkata peruntukan tersebut melibatkan pembinaan jalan perhubungan desa sebanyak RM5 juta diikuti projek ameniti sosial (RM2 juta) dan projek khas untuk membina musalla (surau) dan sebagainya (RM1.53 juta).

Projek lain ialah Projek Perumahan Rakyat Miskin sebanyak 100 buah, baik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak 100 buah dan jalan-jalan kampung sekitar Parlimen Machang, katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang di sini, hari ini.

Terdahulu semasa berucap pada majlis tersebut, Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memohon kepada perdana menteri supaya meluluskan beberapa projek pembangunan untuk rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun perdana menteri berkata bagi projek PPR tambahan yang dimohon oleh Ahmad Jazlan, ia boleh diluluskan sekiranya kawasan Parlimen itu terus dimenangi oleh Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Najib percaya dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Machang dan Kelantan, negeri ini boleh menjadi milik BN pada PRU-14.

Sebanyak 418 unit rumah PPR Parlimen Machang yang melibatkan kos RM75 juta sedang dibina di Kampung Batu 25 di sini dan dijangka siap pada awal 2019. — BERNAMA

Comments

comments